MotoGP: Pelumba Jepun Ai Ogura lakar sejarah tersendiri

Foto REUTERS

ASSEN, 28 Jun – Pelumba Jepun, Ai Ogura melakar sejarah tersendiri apabila merangkul kemenangan sulung dalam karier MotoGP pada Grand Prix (GP) Belanda pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden cemas: Marco Bezzecchi mengalami kemalangan ngeri pada kelajuan lebih 200 km/j dan dikejarkan ke hospital.
  • Ogura memotong Raul Fernandez, memecut selesa dengan kelebihan lebih dua saat; Jorge Martin tamat di tempat ketiga.
  • Kejayaan itu melonjakkan Ogura ke tempat keempat, 25 mata di belakang Jorge Martin, dan tamatkan penantian juara Jepun sejak 2004.

Kemenangan bermakna itu turut diwarnai insiden cemas sebelum perlumbaan melibatkan pendahulu kejuaraan dunia, Marco Bezzecchi yang mengalami kemalangan ngeri pada kelajuan melebihi 200 kilometer sejam (km/j) sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

Ogura mempamerkan tunggangan bertenaga di litar yang berliku dan beralun itu untuk melintasi garisan penamat dengan kelebihan lebih dua saat di hadapan rakan sepasukannya Raul Fernandez.

Pelumba Sepanyol, Jorge Martin pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga, ketinggalan 1.5 saat di belakang Fernandez.

“Ia sesuatu yang hebat, saya tidak tahu mahu kata apa tetapi saya sangat gembira. Terima kasih banyak-banyak kepada pasukan saya,” kata Ogura selepas perlumbaan.

Fernandez, yang memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu, menghabiskan dua per tiga daripada tempoh perlumbaan di belakang Martin sebelum berjaya memotongnya.

Bagaimanapun, Ogura yang bijak menyusun strategi dan menanti peluang keemasan, bertindak memotong rakan sepasukannya itu sebelum terus memecut selesa untuk mengesahkan kemenangan mutlak.

Ogura kini melonjak ke kedudukan keempat, ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu perlumbaan, Jorge Martin manakala juara dunia bertahan, Marc Márquez, berada 40 mata di belakang pelumba senegaranya itu.

Kejayaan pelumba berusia 25 tahun itu sekali gus menamatkan penantian lama peminat permotoran Jepun yang kali terakhir menyaksikan pelumba senegara, Makoto Tamada menaiki podium selaku juara kelas utama pada tahun 2004.

Mei lepas, dia turut menduduki tempat ketiga di Le Mans, Perancis untuk menjadi pelumba Jepun pertama menaiki podium MotoGP sejak kali terakhir dilakukan oleh Katsuyuki Nakasuga di Grand Prix Valencia pada 2012. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.