Liga Super: JDT menang 7-0, Selangor belasah Penang 4-0

Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol dalam aksi Liga Super menentang KL City FC – MFL

ISKANDAR PUTERI, 3 Mei – Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol apabila membelasah Kuala Lumpur (KL) City FC 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ager Aketxe menjaringkan penalti pada minit ke-17.
  • Oscar Aribas menggandakan kelebihan pada minit ke-34 menerusi sepakan leret hasil hantaran Matthew Davies.
  • Dmytro Lytvyn dilayangkan kad merah pada minit ke-51 selepas menjatuhkan Aribas, memaksa KL City beraksi dengan 10 pemain.
  • Selangor merampas kedudukan kedua liga selepas menewaskan Penang 4-0; gol oleh Chrihor Moraes, Hugo Boumous, Harith Haiqal dan Alvin Fortes.

Kenduri gol skuad Harimau Selatan bermula pada minit ke-17 menerusi jaringan Ager Aketxe Barrutia yang menyempurnakan sepakan percuma.

Tuan rumah kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-34 menerusi sepakan leret Oscar Aribas selepas menerima hantaran Matthew Davies dalam kotak penalti.

KL City FC yang bergelut sepanjang separuh masa pertama hampir merapatkan jurang menerusi percubaan dari luar kotak penalti oleh Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri pada minit ke-43, namun sepakan itu tersasar tinggi.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat terus dihimpit tekanan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dmytro Lytvyn dilayangkan kad merah pada minit ke-51 kerana menjatuhkan Aribas.

JDT memanfaatkan kelebihan itu dengan melancarkan serangan bertali arus untuk membolehkan Stuart Wilkin menjaringkan gol ketiga pada minit ke-72 hasil hantaran Yago da Silva, sebelum Alberto Martin menambah jaringan keempat empat minit kemudian.

Ajdin Mujagic meledakkan gol kelima pada minit ke-82, diikuti tandukan Eddy Silvestre Pascual Israfilov bagi gol keenam hasil sepakan sudut Yago.

Manuel Federico Hidalgo Gasparini pula melengkapkan kemenangan bergaya dengan menjaringkan gol ketujuh pada masa kecederaan.

Selangor FC turut menang besar 4-0 ke atas Penang FC – MFL

Di Petaling Jaya, Selangor kembali merampas kedudukan kedua liga selepas menumbangkan Penang FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Skuad Gergasi Merah bermula garang apabila berjaya mencipta tiga gol pada babak pertama menerusi jaringan Chrihor Moraes pada minit ke-11, Hugo Boumous (ke-15) dan Harith Haiqal Adam Afkar (ke-21).

Memasuki babak kedua, Alvin Fortes berjaya menjaringkan gol pada minit ke-62, sekali gus menyaksikan Selangor berjaya mencatat kemenangan 4-0. – BERNAMA