Kekalahan kepada England akhiri era gemilang Deschamps

Pengurus Perancis, Didier Deschamps meninggalkan jawatannya selepas tamat kejohanan Piala Dunia 2026/ AFP

MIAMI, 19 Julai – Era kegemilangan Didier Deschamps bersama skuad kebangsaan Perancis bertukar menjadi detik pahit selepas pasukannya tewas 4-6 kepada England dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Les Bleus tewas 0-2 kepada Sepanyol di separuh akhir.
  • Pencapaian Deschamps kekal sebagai salah satu legasi teragung dalam sejarah bola sepak Perancis.
  • Beliau membawa Perancis juara Piala Dunia 2018 dan pernah kapten juara 1998, menonjol sebagai jurulatih dan pemain.
  • Zidane disebut calon pengganti; tugas berat mengekalkan momentum pasukan penuh bakat.

Kekalahan dramatik itu menyusul selepas Les Bleus tunduk 0-2 kepada Sepanyol di peringkat separuh akhir pada Selasa lalu.

Meskipun menamatkan kempen dengan kekecewaan, pencapaian luar biasa pengendali berusia 57 tahun itu kekal sebagai salah satu legasi teragung dalam sejarah bola sepak Perancis.

“Perlawanan ini sama sekali tidak akan menjejaskan status legenda Didier Deschamps,” tegas ketua pasukan Perancis, Kylian Mbappe.

Deschamps, yang mengambil alih tugasan sebagai pembimbing pada 2012, akan sentiasa dikenang sebagai individu yang membawa Perancis menjulang gelaran dunia kedua pada 2018, iaitu dua dekad selepas beliau mengetuai Les Bleus selaku kapten untuk kejuaraan pertama pada 1998.

Sepanjang 14 tahun membimbing pasukan, beliau berjaya mencatatkan rekod 20 kemenangan Piala Dunia selain membawa Perancis mara ke perlawanan akhir sebanyak dua kali.

Beliau membimbing Perancis ke suku akhir Piala Dunia 2014 dan perlawanan akhir Euro 2016, sebelum muncul juara dunia di Rusia pada 2018.

Di bawah bimbingannya, Perancis turut menjulang kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA pada 2021 sebelum bergelar naib juara Piala Dunia 2022 di Qatar.

Kejayaan itu meletakkan beliau setanding legenda Brazil, Mario Zagallo, dan legenda Jerman, Franz Beckenbauer, sebagai individu yang memenangi Piala Dunia selaku pemain dan juga jurulatih.

Tahun lepas, Deschamps telah mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya sebaik sahaja kontraknya tamat selepas Piala Dunia 2026.

Bekas legenda Perancis yang juga rakan sepasukan Deschamps, Zinedine Zidane, disebut-sebut sebagai calon pilihan bagi menggantikannya.

Sekiranya menjadi kenyataan, Zidane bakal memikul tugas berat untuk mengekalkan momentum yang dibina Deschamps, di sebalik kelebihan memiliki skuad yang sarat dengan barisan pemain berbakat besar. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.