Kejohanan bola sepak komuniti perkasa bakat muda

Dr Mohammed Taufiq Johari bersama peserta Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Piala Dr Mohammed Taufiq Johari di Sungai Petani/ RTM

SUNGAI PETANI, 3 Mei- Penganjuran kejohanan bola sepak di peringkat komuniti dilihat berperanan meningkatkan lagi minat pemain muda terhadap sukan berkenaan, menurut Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Jelas beliau, Kedah antara negeri yang mempunyai bakat cilik yang boleh dibangunkan secara lebih tersusun dan berterusan.

Menurut beliau, negeri itu tidak ketandusan pemain di peringkat akar umbi dengan penyertaan dalam kejohanan tempatan menunjukkan perkembangan bakat dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Piala Dr Mohammed Taufiq Johari di sini hari ini.

Kejohanan anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Petani dengan kerjasama pihak swasta itu melibatkan 16 sekolah dari seluruh Kedah.

Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, Alor Setar muncul juara selepas menewaskan SK Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani menerusi penentuan sepakan penalti.

Beliau berkata kejohanan seumpama itu memberi pendedahan awal kepada pemain muda serta ruang untuk meningkatkan pengalaman pertandingan.