
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti dapatan audit terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum menentukan sebarang tindakan susulan yang bersesuaian.
- KBS tidak akan berkompromi jika audit mendedahkan salah laku atau penyalahgunaan dana; kes akan dirujuk kepada pihak berkuasa mengikut undang-undang.
- KBS menghormati urusan dalaman persatuan tetapi akan mengambil tindakan mengikut prosedur jika perkara melangkaui batas perundangan.
- KBS komited memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti badan sukan, dengan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus representasi wanita dalam sukan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammad Taufiq Johari, menegaskan kementerian tidak akan berkompromi sekiranya audit berkenaan mendedahkan sebarang kesilapan, ketidakpatuhan atau unsur salah laku, khususnya yang melibatkan penggunaan dana awam.
Menurut beliau, sebarang perkara yang memerlukan tindakan lanjut akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.
“Prinsip kita jelas, tidak ada kompromi dalam perkara yang melibatkan integriti dan dana awam. Namun, KBS tidak mencampuri urusan dalaman persatuan.
“Apa-apa perkara yang melangkaui batas perundangan dan memerlukan tindakan, wajar dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian seminar Wanita Dalam Sukan di Bukit Jalil, hari ini.
Dr. Mohammad Taufiq turut menegaskan bahawa KBS sentiasa terbuka terhadap usaha memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam organisasi sukan, termasuk melalui pelaksanaan audit bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai pengurusan dana dan tadbir urus sesebuah badan sukan.
Dalam sidang media sama, beliau turut mengulas mengenai Program Road to Gold (RTG), dengan menjelaskan bahawa sebarang penstrukturan semula program itu akan dibuat berdasarkan kemampuan serta prestasi semasa atlet.
Menurut beliau, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa RTG sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“RTG adalah berasaskan kemampuan dan ranking atlet. Sebarang perubahan atau penstrukturan akan dimaklumkan selepas perbincangan lanjut dibuat,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus representasi wanita dalam pelbagai bidang sukan, termasuk penglibatan dan kepimpinan, kini semakin hampir dicapai.
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus representasi wanita dalam sukan. Ketika ini, penglibatan aktif berada sekitar 21 peratus dan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun, sekali gus semakin menghampiri sasaran tersebut,” katanya.
Pelan tindakan berkaitan wanita dalam sukan itu dilancarkan bersempena Seminar Wanita Dalam Sukan dan merupakan kesinambungan kepada inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Inisiatif baharu tersebut dirangka secara menyeluruh bagi memastikan wanita bukan sahaja terlibat sebagai atlet, malah memainkan peranan lebih besar dalam struktur pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan sukan negara.