KBS akui kelompangan komunikasi cetus polemik Datuk Azizulhasni

Foto RTM

PUTRAJAYA, 1 September – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengakui berlaku kelompangan serta masalah komunikasi yang mencetuskan polemik berhubung perancangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan membenarkan Azizulhasni meneruskan misi LA28 dipersetujui Lembaga MSN pada 13 Ogos selepas penilaian diarahkan.
  • Surat tawaran dikeluarkan dua hari lepas; Azizulhasni memberi maklum balas semalam dan bersetuju meneruskan khidmat bersama skuad negara.
  • Perbincangan seterusnya melibatkan Azizulhasni, persatuan, MSN dan ISN untuk perincikan bentuk bantuan serta sokongan persiapan LA28.
  • MSN menafikan dakwaan mengabaikan jasa Azizulhasni dan menegaskan sokongan berterusan terhadap persiapan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab terhadap perkara itu dan mahu memastikan masalah komunikasi antara atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), persatuan sukan kebangsaan serta pihak berkaitan tidak berulang.

“Jika ada ‘communication breakdown’ atau kesilapan dari segi komunikasi, kita mengambil tanggungjawab tersebut dan ingin memastikan perkara sebegini tidak berulang.

“Komunikasi yang baik daripada MSN, atlet dan persatuan adalah sangat penting supaya tidak berlaku sebarang polemik atau kekeliruan dalam masyarakat,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat MSN berkenaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan LA28 di Menara KBS, di sini hari ini.

Mohammed Taufiq berkata, keputusan memberi laluan kepada Azizulhasni untuk meneruskan misi ke LA28 sebenarnya telah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos lalu, selepas beliau mengarahkan badan sukan itu menilai perkara berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan terdapat kelompangan dari segi tempoh serta salah faham komunikasi sebelum keputusan itu disampaikan sepenuhnya kepada pelumba berusia 38 tahun berkenaan.

Beliau berkata, surat tawaran bagi membolehkan Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 dikeluarkan dua hari lepas, manakala KBS menerima maklum balas daripada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu semalam.

Menurutnya, bekas juara dunia itu telah bersetuju menerima tawaran berkenaan dan meneruskan khidmat bersama skuad negara dalam usaha memburu kejayaan di LA28.

“Perkara ini telah selesai. Sekarang masalahnya, apakah langkah seterusnya yang perlu kita ambil? Itu sekarang kita perlu optimis dan berfikiran ke hadapan,” katanya.

Mohammed Taufiq berkata, perbincangan seterusnya akan melibatkan Azizulhasni, persatuan, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperincikan bentuk bantuan serta sokongan yang diperlukan dalam persiapan menuju LA28.

Dalam pada itu, beliau merancang mengadakan siri pertemuan dan sesi town hall bersama atlet bagi memastikan sebarang isu dapat dikenal pasti serta diselesaikan dengan lebih pantas.

Jumaat lepas, Azizulhasni memuat naik penjelasan sembilan muka surat di Instagram mengenai proses kelayakan ke LA28 dan masa depan kariernya, selain meminta jawapan jelas daripada KBS serta MSN sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi misi berkenaan.

Sehari kemudian, MSN menafikan dakwaan bahawa badan itu tidak menghiraukan perancangan atau tidak menghargai jasa Azizulhasni, sebaliknya menegaskan pihaknya sentiasa menyokong The Pocket Rocketman, termasuk dalam persiapannya menuju LA28.

Azizulhasni kemudian memuat naik video memaklumkan bahawa beliau telah menerima surat tawaran bagi meneruskan misi ke LA28, semalam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.