
PUTRAJAYA, 1 September – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal yakin jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang mampu memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
- Program Road to Gold (RTG) diwujudkan bantu atlet berpotensi capai emas Olimpik pertama, disokong pelaksanaan dan data.
- Mohd Azizulhasni setuju terus bersama skuad menuju LA28 selepas menjuarai keirin Komanwel Glasgow 2026; persetujuan disahkan MSN.
- Bekas juara dunia berusia 38 tahun masih memburu emas Olimpik pertama, selepas gangsa Rio 2016 dan perak Tokyo 2020; cabaran Paris 2024 terganggu.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata keyakinan itu selari dengan matlamat program Road to Gold (RTG) yang diwujudkan bagi membantu atlet berpotensi tinggi negara merealisasikan impian meraih emas Olimpik pertama Malaysia.
Beliau berkata keyakinan terhadap pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu turut bersandarkan data dan fakta.
“Kita yakin dengan semua atlet kita. Apabila kita menetapkan sasaran, itu ada keyakinan. Tak guna kita ada program Road to Gold, tetapi kita tidak yakin.
“Yang penting, pertama yakin dulu. Kedua, keyakinan itu mesti datang dengan pelaksanaan dan aksi yang menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan LA28 di Menara KBS, di sini hari ini.
Mohammed Taufiq berkata keyakinan dan harapan KBS tidak hanya diletakkan kepada Mohd Azizulhasni, sebaliknya turut meliputi semua atlet yang berada dalam program RTG.
Terdahulu, beliau mengesahkan Mohd Azizulhasni yang mencipta sensasi memenangi emas acara keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini, bersetuju meneruskan misi bersama skuad negara menuju LA28.
Beliau berkata keputusan memberi laluan kepada bekas juara dunia berusia 38 tahun itu untuk meneruskan perjuangan dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos lepas.
Menurutnya, surat tawaran dikeluarkan dua hari lepas sebelum KBS menerima maklum balas daripada Mohd Azizulhasni semalam yang menyatakan persetujuannya untuk terus berkhidmat kepada negara.
“The Pocket Rocketman” yang memenangi gangsa acara keirin pada Olimpik Rio 2016 sebelum meraih perak di Tokyo 2020, masih memburu emas Olimpik pertama dalam kariernya.
Pada Olimpik Paris 2024, cabarannya dalam acara keirin berakhir seawal saringan pertama selepas dibatalkan penyertaan kerana memintas derny sebelum ia meninggalkan trek pada aksi di Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines.