SUKIPT 2026: Yuvanesh tebus kecewa SUKMA, raih emas taekwondo

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 September – Atlet taekwondo Politeknik Malaysia, K Yuvanesh, melakar kejutan manis pada penampilan sulungnya di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 apabila merangkul pingat emas kategori bawah 58 kilogram (kg), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menang final di Universiti Malaya, menewaskan wakil Sunway University 2-0.
  • Kejayaan disifatkan penebus kekecewaan selepas hanya meraih gangsa di SUKMA Selangor.
  • Mendedikasikan kemenangan kepada ibu bapa dan jurulatih; menyasarkan wakili negara di AUG.

Pada aksi final di Universiti Malaya (UM), Yuvanesh tampil cemerlang untuk menewaskan wakil Sunway University, 2-0.

Kejayaan itu disifatkan penuntut semester empat jurusan Kejuruteraan Mekanikal berkenaan sebagai penebus kekecewaan selepas sekadar meraih gangsa dalam kategori sama pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor sebelum ini.

“Ini adalah penyertaan pertama saya di SUKIPT dan terus dapat emas. Sebelum ini di SUKMA saya hanya dapat gangsa dalam kategori yang sama.

“Kali ini rezeki memihak kepada saya selepas melalui lima pusingan perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan di sini.

Atlet berusia 20 tahun itu turut mendedikasikan emas berkenaan kepada ibu bapanya yang menjadi sumber motivasi utama ketika beliau hampir berputus asa, selain merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih.

Bagi perancangan seterusnya, Yuvanesh menyasarkan peluang mewakili negara di pentas antarabangsa, termasuk pada Sukan Universiti ASEAN (AUG).

“Sasaran seterusnya mungkin ke AUG. Saya akan cuba sedaya upaya untuk menembusi skuad kebangsaan dan beraksi di peringkat antarabangsa demi nama Malaysia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.