Jurulatih Afrika Selatan diberi tugas bimbing skuad pecut negara

Thabo Matebedi (kiri)

KUALA LUMPUR, 3 Julai Olahraga Malaysia (MA) melantik jurulatih dari Afrika Selatan, Thabo Matebedi sebagai ketua jurulatih pecut kebangsaan bagi memperkukuhkan persiapan skuad negara menghadapi Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan dibuat bersama MSN selepas menilai permohonan dan CV empat calon dari Botswana, Poland, Jamaica dan Afrika Selatan.
  • Dipilih kerana pengalaman luas dan rekod cemerlang dalam membangunkan atlet pecut bertaraf antarabangsa.
  • Pernah membimbing pelari ternama termasuk Sinesipho Dambile, Bayanda Walaza dan Mukona Manavhela.
  • Akan merangka program pembangunan serta latihan atlet yang akan dipantau secara berkala oleh MA, MSN dan ISN.

Dalam satu kenyataan, MA memaklumkan pelantikan itu dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) selepas menilai permohonan serta curriculum vitae (CV) daripada empat calon dari Botswana, Poland, Jamaica dan Afrika Selatan.

Menurut MA, Matebedi dipilih berdasarkan pengalaman luas serta rekod cemerlang dalam membangunkan atlet pecut bertaraf antarabangsa.

Jurulatih Elit Tahap 3 itu pernah membimbing beberapa pelari ternama Afrika Selatan termasuk juara 100 meter negara itu, Sinesipho Dambile, Bayanda Walaza dan Mukona Manavhela.

Beliau juga pernah melatih Gift Leotlela yang menamatkan saingan di tempat kelima acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo dengan catatan 9.87 saat.

MA memaklumkan Matebedi dijangka tiba di Malaysia pada awal bulan hadapan selepas segala urusan dokumentasi termasuk visa dan permit kerja diselesaikan.

Beliau kemudiannya akan merangka program pembangunan serta latihan atlet pecut negara yang akan dipantau secara berkala oleh MA bersama MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).

Pemantauan itu merangkumi penilaian prestasi, mengenal pasti cabaran semasa serta menilai kekuatan dan kelemahan program bagi memastikan sasaran yang ditetapkan menjelang Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027 dapat dicapai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.