
MUNICH, 3 Julai – Bayern Munich mengumumkan bahawa pertahanan Jerman, Nathaniel Brown, telah menyertai kelab itu dari Eintracht Frankfurt dengan kontrak sehingga tahun 2031.
- Bayern membayar yuran perpindahan 55 juta euro untuk mendapatkan Brown, perpindahan berprofil tinggi.
- Pemain 23 tahun, berkelajuan tinggi, dijangka bersaing dengan Alphonso Davies bagi posisi bek kiri.
- Max Eberl memuji potensi besar Brown, Bayern anggap dia aset penting untuk masa depan pasukan.
Juara bertahan Bundesliga itu dilaporkan membayar yuran perpindahan sebanyak 55 juta euro (AS$63 juta) kepada Frankfurt untuk mendapatkan Brown.
Pemain berusia 23 tahun itu dijangka bersaing dengan Alphonso Davies, yang sering dibelenggu kecederaan, bagi merebut posisi bek kiri.
Menyifatkan Bayern sebagai salah sebuah kelab terbaik di dunia, Brown berkata, perbualannya dengan ketua jurulatih Vincent Kompany meyakinkannya untuk menyertai kelab tersebut.
“Saya sentiasa bermimpi untuk bersaing merebut kejuaraan terbesar di peringkat tertinggi. Saya meletakkan sasaran yang paling tinggi untuk diri sendiri dan mahu memberikan yang terbaik setiap hari,” katanya.
Bayern mahu terus memperkukuhkan pasukan selepas melalui musim 2025-2026 yang cemerlang apabila mereka menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman, selain mara ke separuh akhir Liga Juara UEFA.
Pada Rabu lalu, Bayern turut mengumumkan ketibaan pemain tengah Ismael Saibari, yang menyerlah bersama Maghribi pada Piala Dunia.
Pengarah sukan Bayern, Max Eberl, memuji perkembangan pesat Brown sambil menyatakan pemain itu masih mempunyai potensi yang sangat besar dan merupakan aset penting untuk masa depan.
Layak mewakili Amerika Syarikat menerusi bapanya, Brown membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Jerman pada Oktober lalu dan sejak itu berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam kesebelasan utama.
Pemain yang terkenal dengan kepantasannya itu menjaringkan satu gol serta mencipta satu bantuan gol ketika Jerman membelasah Curacao 7-1 dalam perlawanan pembukaan kejohanan.
Brown menyertai Frankfurt dari Nuremberg pada 2024 dengan nilai perpindahan tiga juta euro.
Musim lalu, dia beraksi dalam 33 daripada 34 perlawanan Bundesliga bersama Frankfurt, menjaringkan empat gol serta mencatatkan empat bantuan gol. – AFP