
DALLAS, 25 Jun – Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu berharap pasukannya mampu menewaskan Sweden dalam aksi terakhir Kumpulan F untuk membolehkan mereka muncul juara kumpulan.
- Jepun boleh menjadi juara Kumpulan F jika mencatat keputusan lebih baik berbanding Belanda, sekaligus mengelak pertemuan awal dengan Brazil.
- Juara kumpulan akan berdepan Maghribi di Monterrey; naib juara perlu menentang Brazil di Houston.
- Moriyasu menegaskan pasukan hanya memikirkan kemenangan walaupun seri sudah memadai untuk layak.
- Beliau beri amaran Sweden berbahaya, dengan Alexander Isak dan Viktor Gyokeres sebagai ancaman serangan yang perlu dihadang.
Sekiranya Jepun mencatat keputusan lebih baik berbanding Belanda yang menentang Tunisia, mereka akan mara sebagai juara Kumpulan F dan mengelak pertemuan dengan Brazil pada pusingan 32 terbaik.
Juara kumpulan akan berdepan Maghribi di Monterrey, manakala naib juara kumpulan perlu bertemu juara dunia lima kali, Brazil, di Houston.
Walaupun keputusan seri sudah memadai untuk memastikan Jepun layak, Moriyasu menegaskan bahawa pasukannya hanya memikirkan kemenangan.
“Mengenai sasaran kami, kami mahu menang dan layak sebagai juara kumpulan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
“Saya fikir bermain di Monterrey adalah pilihan terbaik.
“Kami mengadakan kem latihan sebelum kejohanan di sana, bermain menentang Tunisia di sana, dan para pemain sudah biasa dengan suasana stadium, keadaan padang serta kemudahan di venue tersebut.
“Jadi dapat bermain di tempat yang sudah kami kenali sememangnya satu kelebihan,” katanya.
Jepun dan Belanda seri 2-2 dalam perlawanan pembukaan kumpulan.
Pasukan Samurai Biru kemudian membelasah Tunisia 4-0 dalam perlawanan kedua.
Namun masih berada di tangga kedua di belakang Belanda walaupun kedua-dua pasukan mengumpul empat mata dan memiliki perbezaan gol yang sama, dengan Belanda mendahului berdasarkan jumlah jaringan.
Moriyasu bagaimanapun tetap berwaspada terhadap ancaman Sweden yang diketuai dua penyerang berbisa liga Inggeris, Alexander Isak dan Viktor Gyokeres.
“Sweden adalah pasukan yang sangat kuat,” katanya.
“Mereka kukuh di bahagian pertahanan dan pantas ketika menyerang. Ia bukan perlawanan yang mudah. Paling penting, kami perlu fokus untuk menang.
“Saya berharap pemain pertahanan kami mampu berdepan penyerang bertaraf dunia seperti Isak dan Gyokeres.
“Saya harap mereka memanfaatkan pengalaman berharga ini dengan meningkatkan lagi tahap permainan mereka,” katanya.
Jepun sebelum ini pernah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia sebanyak empat kali, namun belum pernah melangkaui peringkat 16 terbaik.
Dalam edisi 2022, mereka tersingkir selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Croatia pada pusingan tersebut. – AFP