
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Selepas kali terakhir beraksi di Malaysia pada 2013, gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali menggegar selatan tanah air apabila dijadual menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Ogos ini.
- Perlawanan persahabatan antara Chelsea dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, perlawanan terbesar pernah berlangsung di negara ini.
- Menemukan juara Piala Dunia Kelab FIFA dengan kuasa besar bola sepak Asia Tenggara, menjanjikan aksi berkualiti.
- Chelsea kini diasuh Xabi Alonso, menandakan era baharu dan persiapan menjelang musim baharu.
- JDT terus kukuh sebagai kuasa domestik selepas 12 kejuaraan Liga Super berturut-turut dan kejayaan Piala AFC.
Perlawanan yang diumumkan oleh TEG Sport dan Johor Southern Tigers itu terbesar pernah berlangsung di negara ini dengan menemukan juara semasa Piala Dunia Kelab FIFA dan kuasa besar bola sepak Asia Tenggara di stadium berkapasiti kira-kira 34,000 penonton itu.
Aksi yang dijadual bermula pukul 8.00 malam itu bukan sahaja menjadi medan pemanas badan Chelsea menjelang kempen EPL musim 2026/27, malah membuka peluang buat skuad Harimau Selatan menguji kemampuan sebenar menentang antara kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Eropah.
Lebih menarik, kunjungan kali ini turut hadir bersama era baharu The Blues di bawah kendalian pengurus baharu, Xabi Alonso, yang dilantik bagi mengemudi kebangkitan semula kelab itu di pentas domestik dan Eropah.
JDT pula akan terus mengukuhkan status sebagai kuasa dominan bola sepak Malaysia selepas menjulang 12 kejuaraan Liga Super berturut-turut selain mencipta nama di pentas Asia menerusi kejayaan menjuarai Piala AFC serta aksi konsisten dalam Liga Juara AFC.
Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea, Pete Nuttall berkata, pihaknya gembira dapat menjadikan perlawanan menentang JDT sebagai aksi terakhir jelajah pramusim pasukan itu selain kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak aksi persahabatan pada tahun 2013.
“Sukan bola sepak mempunyai kelompok penyokong yang amat bersemangat di rantau ini dan merupakan peluang terbaik untuk penyokong kami di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara menyaksikan pasukan beraksi sekali lagi menjelang musim baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pihaknya berasa amat bangga dan berbesar hati dapat menjadi tuan rumah kepada salah satu kelab EPL paling terkenal di dunia.
“Stadium Sultan Ibrahim merupakan kubu kami dan pada Ogos nanti, akan menjadi pentas kepada satu malam yang pasti sukar dilupakan. Kami menantikan perlawanan ini dan berharap akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perlawanan berprofil tinggi pada masa hadapan.
“Chelsea bukan sahaja akan menikmati layanan mesra JDT serta kemudahan bertaraf dunia yang kami miliki, malah berpeluang menikmati keindahan negeri Johor,” katanya.
Untuk penjualan tiket, prajualan eksklusif bagi kelab penyokong Chelsea dan JDT akan dibuka pada 21 Mei 2026 jam 10.00 pagi sebelum jualan umum bermula pada 22 Mei 2026 pada pukul 12.00 tengah hari.
Harga tiket bermula serendah RM154 sehingga RM1,254 bagi kategori VIP. Tiket boleh dibeli menerusi Tickethotline.com.my dan tertakluk kepada caj pemprosesan bagi setiap transaksi.