
ISKANDAR PUTERI, 22 Ogos – Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Liga Super 2026/2027 dengan misi memburu kejuaraan liga ke-13 berturut-turut selepas mempertahankan Piala Sumbangsih menerusi kemenangan 3-0 ke atas Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
- JDT merekodkan 109 perlawanan liga tanpa kalah, memecahkan rekod dunia 108 perlawanan ASEC Mimosas.
- Marcos Guilherme, Oscar Arribas dan Shahab Zahedi menjaringkan gol pada minit 11, 54 dan 85.
- Ketua jurulatih Xisco Munoz mengakui perlu perbaiki penguasaan bola dan kefahaman pemain baharu.
JDT, yang sudah mendominasi Liga Super dengan 12 kejuaraan berturut-turut, kini mengalih fokus untuk melanjutkan penguasaan mereka dengan memburu kejuaraan ke-13 musim ini.
Kejayaan di Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu turut menyaksikan Harimau Selatan melakar sejarah baharu apabila merekodkan 109 perlawanan liga tanpa kalah, sekali gus memecahkan rekod dunia 108 perlawanan milik ASEC Mimosas dari Ivory Coast yang bertahan sejak 1994.
Di hadapan 32,372 penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, JDT membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi Marcos Guilherme selepas menyudahkan hantaran Bergson.
Oscar Arribas kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-54 menerusi rembatan kencang sebelum Shahab Zahedi melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-85 selepas memanfaatkan bola muntah penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Kemenangan itu bukan sahaja memberikan JDT trofi pembukaan musim, malah meneruskan rentetan luar biasa mereka yang tidak tewas dalam saingan liga sejak April 2021.
Bagaimanapun, ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz mengakui, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki, khususnya dari segi penguasaan bola dan kefahaman pemain baharu terhadap corak permainan pasukan.
“JDT perlu mengawal permainan dengan lebih baik dan tidak membiarkan lawan menguasai bola untuk tempoh terlalu lama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, di sini.
Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui, anak buahnya tidak berada pada tahap kesiapsiagaan 100 peratus dalam perlawanan berkenaan.
“Saya rasa kesilapan kami adalah para pemain tidak 100 peratus bersedia, secara jujurnya. Tetapi kami akan perbetulkan kesilapan dan akan menambah baik permainan,” katanya.
JDT akan meneruskan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan menentang Kelantan Red Warrior FC pada Rabu ini.