
KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Pelumba negara, Hakim Danish bakal membuat penampilan sulung di Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC), dari 30 Oktober hingga 1 November ini, selepas mencipta kemenangan bersejarah dalam Moto3 dan meraih podium sulung Kejuaraan Dunia.
- Menteri Belia dan Sukan kata pencapaian pelumba jadi suntikan semangat kepada peminat untuk hadir memberi sokongan di litar.
- Beliau yakin pengalaman di litar Sepang dan sokongan rakyat Malaysia akan membantu pelumba berikan aksi terbaik.
- Kemunculan pelumba menjadi tarikan utama edisi ini, MotoGP Malaysia kembali ke Sepang dengan pelbagai acara untuk peminat.
- 80 peratus tiket terjual, Premier Seat dan Hakim Danish Tribune habis; Tiket Rahmah RM49.90 untuk K2 Hillstand melalui www.sepangcircuit.com.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pencapaian itu menjadi suntikan semangat buat peminat tempatan untuk hadir ke litar bagi memberikan sokongan kepada pelumba negara.
Beliau yakin pengalaman Hakim Danish di litar Sepang serta sokongan rakyat Malaysia mampu membantunya memberikan aksi terbaik.
“Harapan saya adalah Hakim Danish mampu buat yang terbaik. Ini merupakan tempatnya sendiri dan sudah pasti dia begitu mahir dengan trek yang kita ada.
“Saya pasti semangat dan sokongan seluruh rakyat Malaysia akan membantu Hakim Danish memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya pada Sidang Media Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 di Bangunan Sultan Abdul Samad, hari ini.
Menurutnya, kemunculan sulung Hakim Danish menjadi antara tarikan utama edisi tahun ini, yang turut menyaksikan kepulangan perlumbaan MotoGP Malaysia ke Sepang dengan pelbagai acara untuk peminat sukan permotoran.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan 80 peratus tiket bagi edisi tahun ini telah terjual, manakala kategori Premier Seat dan Hakim Danish Tribune habis dijual.
MotoGP Malaysia 2026 berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi autograf, Public Pit Lane Walk, Night Track Tour dan MotoGP Hero Walk.
Peminat juga boleh mendapatkan Tiket Rahmah pada harga RM49.90 bagi kawasan K2 Hillstand menerusi saluran rasmi di [www.sepangcircuit.com](http://www.sepangcircuit.com).