Cheong Min pulih, sasar emas dunia 2027

Foto RTM

SHAH ALAM, 11 Oktober – Atlet wushu negara, Tan Cheong Min memberi tumpuan kepada pemulihan kecederaan tendon patela lutut kanan sebelum kembali menjalani latihan penuh sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 dan Kejohanan Dunia tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan mengesahkan koyakan separa pada tendon patela kanan; beliau mendapat rawatan di China dan berbincang dengan jurulatih meneruskan persiapan.
  • Tiada kejohanan sehingga penghujung tahun bagi memberi tumpuan kepada rawatan dan fisioterapi.
  • Meraih pingat gangsa nanquan-nandao Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026; menghargai jasa Presiden Persekutuan Wushu, Datuk Chong Kim Fatt.

Beliau berkata, tiada lagi kejohanan yang akan disertainya sehingga penghujung tahun ini, sekali gus membolehkannya memberi fokus kepada rawatan dan fisioterapi bagi memastikan kecergasan kembali ke tahap optimum.

Menurut Cheong Min, pemeriksaan doktor sebelum berangkat ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mengesahkan beliau mengalami koyakan kecil pada tendon patela lutut kanan.

“Sebelum berangkat ke Sukan Asia, saya telah menjalani pemeriksaan doktor dan disahkan mengalami koyakan separa pada tendon patela lutut kanan.

“Ketika menjalani latihan di China, saya turut mendapatkan rawatan di sana. Saya kemudian berbincang dengan jurulatih dan bersetuju untuk meneruskan persiapan sehingga tamat Sukan Asia.

“Buat masa ini, saya meneruskan sesi fisioterapi seperti biasa. Bagaimanapun, rawatan rehabilitasi seterusnya masih belum diputuskan kerana saya perlu menjalani ujian terlebih dahulu sebelum berbincang semula dengan doktor bagi menentukan rawatan yang bersesuaian,” katanya selepas Majlis meraikan atlet Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 kerjasama antara Aeon dan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cheong Min menyasarkan untuk mengekalkan prestasi cemerlang pada Sukan SEA 2027, selain memburu pingat emas pada Kejohanan Dunia tahun depan.

Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini, beliau meraih pingat gangsa dalam acara nanquan-nandao wanita.

Mengulas kepimpinan Persekutuan Wushu Malaysia, Cheong Min turut merakamkan penghargaan kepada presidennya, Datuk Chong Kim Fatt, atas khidmat selama lapan tahun, khususnya dalam menyediakan peluang latihan di China serta memperjuangkan keperluan atlet melalui perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.