F1: KBS tubuh jawatankuasa khas

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai kebolehlaksanaan membawa semula perlumbaan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian menyeluruh berasaskan fakta, data dan unjuran ekonomi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
  • Kajian turut mengambil kira kesan limpahan ekonomi terhadap perhotelan, pelancongan, usahawan tempatan dan industri sokongan.
  • Hasil penilaian menjadi asas pertimbangan kerajaan dan langkah memperkukuh ekosistem sukan permotoran bersama SIC untuk merancakkan ekonomi serta imej negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, mesyuarat khas akan diadakan minggu depan bagi membincangkan penubuhan jawatankuasa berkenaan.

“Pada minggu hadapan saya akan panggil mesyuarat dan juga kita akan form ataupun membuat satu jawatankuasa untuk memastikan kadar kebolehlaksanaan F1 untuk negara kita di masa-masa yang akan datang,” katanya ketika ditemui media ketika Sidang Media Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 di Bangunan Sultan Abdul Samad hari ini.

Tambahnya, penilaian itu akan dibuat secara menyeluruh berasaskan fakta, data dan unjuran ekonomi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kajian tidak hanya tertumpu kepada hasil jualan tiket, sebaliknya turut mengambil kira kesan limpahan ekonomi terhadap sektor perhotelan, pelancongan, usahawan tempatan serta industri sokongan.

“Kajian komprehensif itu penting bagi memastikan penganjuran F1 memberikan pulangan pelaburan optimum kepada negara,” katanya.

Hasil penilaian itu akan menjadi asas pertimbangan kerajaan sebelum dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk keputusan lanjut.

Kerajaan turut komited memperkukuh ekosistem sukan permotoran negara menerusi kerjasama dengan SIC dan pihak berkepentingan antarabangsa, sekali gus merancakkan ekonomi serta mengangkat imej Malaysia di persada global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.