
KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Seramai 70 warga kerja Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan menyertai program pendakian KELANTANfm Tawan Bukit Panau di Tanah Merah, Kelantan, bersempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026.
- Program mendaki menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti fizikal dan memperkukuh hubungan kerja.
- Aktiviti komuniti di puncak termasuk kutip sampah, memupuk kesedaran kebersihan dan tanggungjawab.
- Sokongan dan tolak ansur rakan sekerja membantu pendaki pertama kali dan warga lebih berusia sampai puncak.
- Peserta harap program seumpama ini dianjur secara berkala untuk membudayakan gaya hidup sihat dan perpaduan.
Program itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti fizikal, malah mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Muhammad Aiman Yusof, berkata aktiviti mendaki bukit setinggi 396 meter itu turut menjadi ruang untuk warga kerja meluangkan masa bersama rakan sekerja dalam suasana berbeza di luar persekitaran pejabat.
“Tahun sebelum ini kita melaksanakan aktiviti riadah sukan, termasuk perlawanan antara pasukan. Tahun ini, seluruh warga kerja bersama-sama menawan Bukit Panau dan melaksanakan program komuniti di puncak seperti mengutip sampah. Kita dapat melihat keceriaan dan semangat kebersamaan kakitangan KELANTANfm,” katanya.
Sementara itu, kakitangan KELANTANfm, Suhaila Mat Daud, menyifatkan program berkenaan sebagai aktiviti menarik yang memperlihatkan semangat sokongan dan tolak ansur antara peserta, khususnya mereka yang pertama kali mendaki Bukit Panau.
“Di sini kita dapat melihat ramai dalam kalangan kita memberikan sokongan dan sama-sama bertolak ansur walaupun pendakiannya agak tinggi. Bagi mereka yang pertama kali mendaki Bukit Panau, program ini cukup menarik dan memberikan impak positif,” katanya.
Seorang lagi kakitangan, Maznah Che Ghani, berkata semangat kerjasama rakan sekerja menjadi pendorong untuk beliau meneruskan pendakian hingga ke puncak walaupun terpaksa beberapa kali berhenti untuk berehat.
“Perasaan kak hari ini gembira sangat-sangat. Walaupun umur dah hampir 59 tahun dan nak bersara, dengan semangat kawan-kawan serta muafakat, siapa pun akhirnya dapat sampai ke puncak Bukit Panau walaupun banyak kali berhenti,” katanya.
Dalam pada itu, kakitangan KELANTANfm, Rudeyhazle Che Ramli, berharap program seumpama itu dapat dianjurkan secara berkala bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja.
“Saya berharap pihak pengurusan dapat menganjurkan program seperti ini sekali atau dua kali sebulan supaya kita dapat membudayakan gaya hidup sihat,” katanya.
Penganjuran program itu selaras dengan matlamat Hari Sukan Negara untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, di samping memperkukuh kerjasama dan kebersamaan dalam organisasi.