Flick berang mutu pengadilan, anggap kekalahan Barca tidak adil

Pengurus Barcelona, Hansi Flick./foto AFP

BARCELONA, 9 April – Pengurus Barcelona, Hansi Flick, melepaskan kemarahan terhadap mutu pengadilan selepas skuad kendaliannya tewas 0-2 di laman sendiri menentang Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Flick menyelar keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti untuk Barcelona pada minit ke-53.
  • Menyoal kad merah kepada Pau Cubarsi yang menyebabkan Barcelona beraksi dengan 10 pemain sebelum tamat separuh masa pertama.
  • Isu handball Marc Pubill selepas penjaga gol Juan Musso memulakan sepakan gol, pengadil Istvan Kovacs tidak menyemak, VAR tidak campur tangan.
  • Julian Alvarez menjaringkan gol melalui sepakan percuma sebelum rehat; Alexander Sorloth mengesahkan kemenangan pelawat.

Flick menyelar keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti kepada pasukannya pada separuh masa kedua, selain mempersoalkan kad merah yang dilayangkan kepada Pau Cubarsi sehingga memaksa pasukannya beraksi dengan 10 pemain sebelum tamat babak pertama.

Kemarahan Flick memuncak susulan insiden pada minit ke-53 apabila Barcelona mendakwa mereka sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti.

Situasi tersebut berlaku ketika penjaga gol, Juan Musso dilihat sudah memulakan permainan melalui sepakan gol sebelum pertahanan, Marc Pubill, menyentuh bola dengan tangan untuk mengambil semula sepakan tersebut.

Bagaimanapun, pengadil Istvan Kovacs mengarahkan perlawanan diteruskan, manakala pasukan VAR tidak memanggil beliau untuk membuat semakan sekali gus mencetuskan protes daripada pasukan tuan rumah.

“Tidak, saya tidak bercakap dengan pengadil. Saya rasa lebih baik untuk tidak berbuat demikian hari ini. Keadaan memang sudah begitu, dan kita perlu menerimanya. Saya sentiasa tekankan bahawa kita harus fokus pada perlawanan di gelanggang Atletico.

“Kita mempunyai kualiti dan pemain yang mampu mengubah keputusan perlawanan. Sudah tentu, kita perlu terus berjuang,” kata Flick.

Terdahulu, Barcelona terpaksa beraksi dengan kurang seorang pemain pada minit ke-44 selepas Cubarsi diperintah keluar padang kerana menjatuhkan pemain lawan, Giuliano Simeone.

Julian Alvarez memanfaatkan peluang tersebut menerusi sepakan percuma menarik untuk gol pembukaan sebelum waktu rehat, manakala Alexander Sorloth mengesahkan kemenangan pelawat pada babak kedua. – REUTERS