FAM digesa laksana reformasi menyeluruh, perbaiki imej bola sepak negara

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Mac- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara terbuka mendesak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melaksanakan reformasi menyeluruh susulan kemerosotan mendadak prestasi dan kredibiliti bola sepak negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesan pembatalan dua kemenangan oleh AFC mencetuskan krisis keyakinan peminat dan menjejaskan kredibiliti pasukan negara.
  • KBS menekankan tanggungjawab, perlunya reformasi dalaman dan kepimpinan baharu berwibawa dalam FAM.
  • KBS dan MSN akan perhebat NFDP serta sesi libat urus bagi pelan pemulihan dan penstrukturan semula.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dalam satu kenyataan menyifatkan kejatuhan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke tangga ke-135 dunia sebagai satu amaran serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Penurunan itu berpunca daripada keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus mencetuskan krisis keyakinan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

“Kita tidak boleh menafikan kekecewaan rakyat. Ini bukan sekadar soal ranking, tetapi melibatkan imej dan maruah bola sepak negara,” katanya.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu bertanggungjawab dan mengambil iktibar, selain memastikan kesilapan sama tidak berulang sehingga menjejaskan masa depan sukan tersebut.

Walaupun mengekalkan prinsip tidak campur tangan, KBS memberi isyarat jelas bahawa perubahan perlu dilakukan segera dalam struktur dan pengurusan FAM.

“Kita beri ruang kepada FAM untuk memperbetulkan keadaan termasuk melaksanakan reformasi dalaman dan menentukan kepimpinan baharu yang lebih berwibawa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus memperkukuh pembangunan akar umbi menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi memastikan masa depan bola sepak negara tidak terus terjejas.

KBS turut memaklumkan akan memperhebat sesi libat urus dengan FAM bagi memastikan pelan pemulihan yang lebih jelas dan berkesan dapat dilaksanakan, khususnya dalam menghadapi sistem ranking FIFA yang kini lebih dinamik.

Perkembangan itu dilihat sebagai tekanan terbuka terhadap FAM untuk segera melakukan penstrukturan semula, bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap Harimau Malaya.