
KUALA LUMPUR, 24 Mac– Skuad Harimau Malaya tetap mengintai tiga mata bagi menutup Kelayakan Piala Asia 2027 dengan penuh maruah, walaupun aksi menentang Vietnam sekadar menjadi pelengkap kempen.
- Safawi Rasid: semangat dan keyakinan pasukan kini pada tahap terbaik walaupun peluang ke pusingan akhir telah tertutup.
- Aksi di tempat lawan menuntut fokus tinggi agar pemain tidak memandang rendah cabaran dan berusaha pertahankan maruah pasukan.
- Syahmi Safari kembali selepas kecederaan ACL, bertekad guna peluang untuk berikan aksi terbaik jika diberi kepercayaan.
- Perlawanan di Stadium Thien Truong, Ninh Binh pada 31 Mac penting untuk tingkatkan mata ranking dan tebus maruah selepas potongan enam mata.
Pemain kebangsaan, Safawi Rasid menegaskan semangat dan keyakinan pasukan kini berada pada tahap terbaik meskipun peluang ke pusingan akhir sudah tertutup.
Menurutnya, cabaran di gelanggang lawan tidak boleh dipandang mudah, sebaliknya menuntut fokus tinggi bagi memastikan tiga mata berjaya diraih.
“Untuk perlawanan terakhir ini, ia sudah tentu soal maruah. Walaupun kita tidak layak, saya rasa semua pemain berada dalam momentum positif untuk memburu kemenangan.”
Memandangkan kita bermain di tempat lawan, rakan-rakan tidak boleh memandang rendah cabaran ini agar kita pulang dengan tiga mata,” katanya ketika ditemui di KLIA sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand bagi menjalani latihan intensif.
Sementara itu, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari menyifatkan perlawanan tersebut sebagai medan penting untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking dunia.
Beliau yang kembali ke skuad kebangsaan selepas hampir dua tahun bergelut dengan kecederaan ligamen krusiat (ACL), bertekad memanfaatkan peluang tersebut dengan aksi terbaik sekiranya diberi kepercayaan untuk beraksi.
“Ini merupakan satu perlawanan yang penting kerana keputusan akhir akan memberi kesan kepada ranking pasukan. Jadi, ini adalah peluang terbaik untuk kita memberikan keputusan positif, terutamanya memperoleh kemenangan bagi mendapatkan mata ranking,” jelas pemain berusia 28 tahun itu.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Ninh Binh pada 31 Mac ini.
Tuan rumah sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan akhir selepas mengumpul 15 mata manakala Malaysia terpaksa akur tersingkir selepas ditolak enam mata susulan isu pemain tidak layak.
Justeru, aksi terakhir itu menjadi medan kritikal buat pasukan negara untuk menebus maruah dan mengembalikan keyakinan penyokong.