Asia Rugby Emirates: Skuad ragbi 7s B-20 lelaki, wanita muncul naib juara

Foto Kesatuan Ragbi Malaysia

INDIA, 16 November – Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki dan wanita bawah 20 tahun (B-20) negara masing-masing berjaya muncul naib juara kategori Cup pada Kejohanan Asia Rugby Emirates U20 Sevens 2026, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad wanita Bunga Raya mara ke final Cup buat pertama kali selepas menewaskan tuan rumah India 14-12 pada separuh akhir.
  • Skuad lelaki menamatkan peringkat kumpulan dengan empat kemenangan, menang separuh akhir ke atas Chinese Taipei, sebelum tewas kepada Hong Kong di final.
  • Jurulatih puji komitmen pemain; Syed Shazril tekankan peningkatan diperlukan untuk menandingi pasukan yang bermain secara lebih fizikal, Roazliana berpuas hati dengan semangat.

Lebih membanggakan, skuad wanita Bunga Raya turut melakar sejarah apabila berjaya mara ke final kategori berkenaan buat pertama kali dalam kejohanan yang berlangsung pada 14 hingga 15 November lalu.

Bagi saingan lelaki, Malaysia menamatkan peringkat kumpulan dengan rekod empat kemenangan ke atas Thailand 19-5, Sri Lanka 12-7, Jordan 20-0 dan Singapura 27-0.

Skuad negara kemudian menewaskan Chinese Taipei 33-12 pada separuh akhir sebelum akur kepada Hong Kong 7-34 dalam perlawanan akhir.

Ketua jurulatih skuad lelaki, Syed Shazril Syed Mahadzir menyifatkan pencapaian itu sebagai peningkatan berbanding edisi terdahulu, meskipun pasukannya masih perlu memperbaiki kemampuan menghadapi lawan yang lebih mencabar.

“Semua pemain sudah memberikan yang terbaik, namun masih belum cukup untuk menandingi corak permainan Hong Kong yang agak keras.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain atas usaha dan semangat juang yang ditampilkan dalam perlawanan akhir,” katanya.

Sementara itu, skuad wanita turut mencuri tumpuan apabila menewaskan tuan rumah, India 14-12 pada separuh akhir, sekali gus mencipta sejarah mara ke final kategori Cup buat kali pertama.

Malaysia yang membuka kempen dengan kemenangan 24-0 ke atas Thailand sebelum tewas 5-31 kepada Hong Kong dalam peringkat kumpulan, bagaimanapun sekali lagi gagal mengatasi lawan sama selepas tewas 7-43 pada aksi final.

Ketua jurulatih skuad wanita, Roazliana Ridwan memuji komitmen tinggi anak buahnya yang berjaya memberikan saingan sehingga ke peringkat akhir kejohanan.

“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan setiap pemain.

“Mereka telah berjuang dengan penuh semangat demi negara dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua pemain kerana memberikan yang terbaik,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.