
KUALA LUMPUR, 16 November – Kenaikan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan atlet, selain mampu meningkatkan motivasi dan daya saing mereka menjelang kejohanan utama antarabangsa.
- Inisiatif mengekalkan motivasi dan daya saing pemain menjelang Sukan SEA 2027 serta kempen kelayakan Olimpik Los Angeles 2028.
- Manfaat kenaikan dinikmati oleh 20 pemain skuad hoki lelaki yang meraih pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Setiap pemain menerima tambahan RM12,000 selepas ganjaran pingat perak dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000.
- Jurulatih menerima tambahan RM48,000 melalui Skim Galakan Jurulatih SGAR, menjadikan jumlah tambahan untuk skuad RM288,000.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) itu amat bermakna, khususnya selepas kadar insentif berkenaan tidak disemak sejak 2002.
“Hoki bukan sukan yang dibina atas kehebatan seorang pemain. Setiap individu memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pasukan. Tiada jaringan terhasil dan tiada kemenangan dicapai tanpa sumbangan setiap pemain.
“Inisiatif ini juga hadir pada waktu yang amat signifikan untuk mengekalkan motivasi dan daya saing pemain menjelang Sukan SEA 2027 serta kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Seri Subahan turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, MSN serta agensi sukan berkaitan atas usaha memperkukuh kebajikan dan pengiktirafan terhadap pencapaian atlet negara.
Kenaikan berkenaan memberi manfaat kepada 20 pemain skuad hoki lelaki negara yang meraih pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Setiap pemain bakal menerima tambahan RM12,000 susulan peningkatan ganjaran pingat perak daripada RM8,000 kepada RM20,000, menjadikan keseluruhan tambahan insentif pemain berjumlah RM240,000.
Jurulatih turut menerima tambahan RM48,000 menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tambahan ganjaran kepada skuad berkenaan sebanyak RM288,000.
Bagi kategori lain, kadar SHAKAM untuk pingat emas dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000, manakala gangsa daripada RM4,000 kepada RM10,000 bagi setiap atlet.