AS labur 115 juta dolar Amerika dalam teknologi antidron, lindungi venue Piala Dunia 2026

Model gergasi bola rasmi Trionda Pro bagi Piala Dunia 2026 dipamerkan di dalam kedai sukan di Manhattan, Amerika Syarikat/ REUTERS

WASHINGTON, 12 Januari – Amerika Syarikat (AS) akan melaburkan 115 juta dolar Amerika dalam teknologi antidron bagi memperkukuh keselamatan sekitar venue Piala Dunia 2026, selain persiapan sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan negara itu, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS akan melabur 115 juta dolar dalam teknologi antidron untuk perkuat keselamatan sekitar venue Piala Dunia 2026.
  • Ancaman dron meningkat selepas konflik Ukraine dan insiden di lapangan terbang, mendorong pembangunan sistem pengesanan dan penangkalan.
  • DHS tidak mendedahkan teknologi spesifik, sementara FEMA luluskan geran 250 juta dolar kepada negeri tuan rumah.

Piala Dunia dijangka menjadi ujian keselamatan besar kepada Presiden Donald Trump, dengan lebih satu juta pengunjung antarabangsa dijangka memasuki AS sepanjang kejohanan itu, selain berbilion penonton di seluruh dunia.

Ancaman serangan menggunakan dron semakin membimbangkan susulan konflik di Ukraine yang membuktikan keupayaan dron sebagai senjata berkesan, manakala beberapa insiden kebelakangan ini turut mencetuskan kebimbangan di lapangan terbang Eropah dan AS.

“Kita sedang memasuki era baharu dalam mempertahankan penguasaan ruang udara bagi melindungi sempadan serta keselamatan dalaman AS,” kata Setiausaha DHS, Kristi Noem dalam satu kenyataan.

Syarikat pertahanan kini giat membangunkan pelbagai teknologi antidron termasuk perisian pengesanan, sistem laser, gelombang mikro serta senjata automatik autonomi.

Bagaimanapun, DHS tidak memperincikan jenis teknologi yang akan digunakan di venue Piala Dunia.

Pengumuman itu dibuat beberapa minggu selepas Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), yang berada di bawah DHS, meluluskan geran 250 juta dolar AS kepada 11 negeri tuan rumah perlawanan Piala Dunia bagi pembelian teknologi antidron. -REUTERS