Aniq Kasdan perkukuh persiapan akhir buru emas Sukan Komanwel Glasgow

foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan berada dalam fasa akhir persiapan menjelang Sukan Komanwel 2026 di Glasgow yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aniq berlatih di Turkiye bersama rakan sepasukan untuk menyesuaikan diri dengan cuaca selepas menjalani latihan keras di Rompin.
  • Fokus mengekalkan momentum positif dan kesediaan mental, sentiasa berhubung dengan pakar psikologi peribadi.
  • Sasaran peribadi ialah angkatan lebih baik daripada 277 kg dan capai pingat; PABM optimis sekurang-kurangnya tiga pingat emas.

Atlet berusia 24 tahun itu kini menjalani latihan pusat di Turkiye bersama rakan sepasukan yang lain sebagai strategi penyesuaian cuaca sebelum berangkat ke Scotland dalam masa terdekat.

Aniq menegaskan tumpuan utamanya kini adalah mengekalkan momentum positif selain memastikan kesediaan mental berada pada tahap tertinggi.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Rakan sepasukan lain pun berada dalam keadaan positif.

“Bagi persiapan mental, saya sentiasa berhubung dengan pakar psikologi saya sendiri, jadi setakat ini tiada masalah,” katanya ketika dihubungi RTM.

Mengulas mengenai sasaran peribadi, pemenang pingat perak di Kejohanan Angkat Berat Asia 2026 itu tekad melakukan angkatan yang lebih baik berbanding catatan 277 kilogram (kg) yang dilakukannya di Ahmedabad, India, baru-baru ini.

“Apa yang boleh saya katakan, paling penting adalah buat lebih baik daripada di India dan capai sasaran pingat,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat optimis dengan kemampuan kem negara untuk membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat emas.

Menurut Datuk Ayub, pemilihan Turkiye sebagai lokasi latihan bertujuan memastikan atlet dapat menyesuaikan diri dengan suhu dan persekitaran yang hampir sama dengan Glasgow selepas menjalani latihan keras di Rompin sebelum ini.

“Sekarang mereka dalam proses latihan rutin sebagai persiapan dan pasukan kini berada dalam keadaan siap sedia sepenuhnya untuk beraksi di Scotland,” jelas beliau.

Selain Aniq Kasdan yang bertanding dalam kategori 60 kg, barisan atlet negara yang turut menggalas cabaran di Glasgow termasuk Muhammad Erry Hidayat (79 kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88 kg) dan Muhammad Farris Haikal (+110 kg).

Cabaran wanita pula akan digalas oleh Irene Jane Henry (48 kg), Nur Syazwani Radzi (63 kg) serta Siti Aqilah Farhana (+86 kg).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.