
ARAU, 30 Julai – Sebuah Akademi Woodball bakal diwujudkan di negara ini sebagai langkah memperkukuh pembangunan sukan itu serta melahirkan lebih ramai pemain pelapis yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
- Perkembangan positif woodball di seluruh negara mendorong usaha memperkukuh pembangunan sukan.
- Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan di Kejohanan Piala Dunia Ke-10 dan Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26.
- Dalam kejohanan itu Malaysia meraih tujuh pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa.
- Kejohanan menghimpunkan 460 pemain dari 13 negara serta enam pasukan negeri, penutupan disempurnakan Raja Perlis.
Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, penubuhan akademi itu didorong oleh perkembangan positif sukan woodball di seluruh negara.
Ia termasuk prestasi memberangsangkan skuad Malaysia dalam Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 dan Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26.
“Prestasi cemerlang dan semangat berpasukan yang dipamerkan para pemain membuktikan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus muncul sebagai pencabar utama di pentas antarabangsa.
“Justeru, penubuhan Akademi Woodball akan menjadi platform bagi melatih dan membangunkan pemain pelapis negara ke tahap tertinggi supaya mampu bersaing secara konsisten dengan kuasa-kuasa besar woodball dunia seperti Indonesia, Thailand, Taiwan, Hong Kong dan Uganda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26 di Laman Woodball, Universiti Malaysia Perlis.
Dalam kejohanan yang menghimpunkan 460 pemain dari 13 negara serta enam pasukan negeri itu, Malaysia muncul antara pasukan paling cemerlang apabila meraih tujuh pingat emas, 12 pingat perak dan sembilan pingat gangsa.
Pencapaian pasukan negara, sama ada dalam kategori senior mahupun remaja sangat memberangsangkan apabila melepasi sasaran ditetapkan oleh Persatuan Woodball Malaysia dan Persatuan Woodball Negeri Perlis.
Kejohanan yang bermula pada 24 Julai itu melabuhkan tirainya malam tadi dengan majlis penutupan disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 di Dewan 2020.