Malaysia raih tujuh emas, juara keseluruhan woodball Piala Dunia

Foto RTM

KANGAR, 30 Julai – Malaysia melakar sejarah apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 dan Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26 selepas mengumpul tujuh pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa, menjadikan keseluruhan 28 pingat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad negara manfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih kejayaan meluas dalam Terbuka dan Kejohanan Piala Dunia.
  • Kemenangan meliputi acara fairway, stroke dan beregu, melibatkan pemain seperti Nur Damia Alisha, Nur Laili, Rais Sulaiman dan Zulkifli.
  • Pencapaian mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa utama sukan woodball di peringkat antarabangsa.

Kejohanan yang berlangsung di Laman Woodball, Kompleks Sukan Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu menyaksikan skuad negara memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencipta kejayaan dalam 10 kategori Terbuka Malaysia Antarabangsa dan 15 kategori Kejohanan Woodball Piala Dunia.

Dalam saingan Terbuka Malaysia Antarabangsa, Nur Damia Alisha Rosmanizan menghadiahkan pingat emas menerusi acara fairway perseorangan remaja wanita selepas menewaskan Liu Ming Yi Annie dari Hong Kong.

Nur Laili Idayu Rosli turut menyumbang pingat emas dalam acara fairway perseorangan wanita, manakala gandingan Rais Sulaiman dan Shafizal Hamzah muncul juara acara stroke beregu lelaki.

Satu lagi pingat emas diraih menerusi pasangan Norhisham Hassan dan Nur Laili Idayu Rosli dalam acara stroke beregu campuran.

Bagi Kejohanan Woodball Piala Dunia pula, skuad wanita negara meraih pingat emas dalam acara berpasukan terbuka wanita menerusi Nur Zalilah Mohd. Sohaimi, Noryomhaslinda Senayan, Asmawana Aziz, Qistina Mohd. Reffal, Nor Rinda Ramli dan Aniah Hassan.

Malaysia menambah koleksi emas menerusi acara beregu campuran terbuka hasil gandingan Zulkifli Said dan Nor Rinda Ramli yang menewaskan pasangan Thailand, Kit Jatorn Auwaiangkhoy dan Klissana Khaodee.

Kejayaan negara dilengkapkan dengan satu lagi pingat emas menerusi Muhammad Norfazli Fitri Mohd. Azrol Isham dalam acara perseorangan remaja lelaki selepas mengetepikan cabaran Hsuan Jen Ting dari Chinese Taipei dengan kelebihan lapan pukulan.

Pencapaian cemerlang itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa utama sukan woodball di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.