
BUENOS AIRES, 23 Julai – Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa presidennya, Claudio Tapia, serta bendahari, Pablo Toviggino, ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) selepas perlawanan akhir Piala Dunia 2026.
- Laporan menyebut peranti elektronik dirampas dan pegawai diarahkan hadir di mahkamah berkaitan kontrak antarabangsa AFA.
- Mahkamah daerah Florida mengeluarkan saman untuk hadir di hadapan juri besar dan mengemukakan dokumen serta komunikasi.
- AFA mengakui siasatan AS melibatkan pihak ketiga; badan itu juga disiasat di Argentina untuk pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Penafian itu dibuat susulan laporan media yang mendakwa kedua-dua pegawai tertinggi AFA berkenaan ditahan dan disoal siasat di Lapangan Terbang John F. Kennedy, New York sebelum berlepas pulang ke Argentina.
Menurut laporan berkenaan, mereka turut didakwa dirampas peranti elektronik serta diarahkan hadir ke mahkamah berkaitan kontrak antarabangsa AFA.
Bagaimanapun, AFA dalam satu kenyataan rasmi menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “tidak benar sama sekali”.
“Semua itu adalah tidak betul,” menurut sumber dalaman AFA kepada AFP, manakala Biro Siasatan Persekutuan (FBI) enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Dalam masa sama, AFA mengakui wujud siasatan oleh pihak berkuasa AS, namun ia hanya melibatkan pihak ketiga yang mempunyai kaitan dengan badan bola sepak tersebut.
Mahkamah daerah di Florida dilaporkan telah mengeluarkan saman terhadap individu berkenaan untuk hadir di hadapan juri besar serta mengemukakan dokumen dan komunikasi yang berkaitan dengan beberapa individu termasuk pegawai AFA.
AFA yang diterajui Tapia sejak 2017 kini turut berdepan beberapa siasatan di Argentina, termasuk dakwaan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Selain itu, hubungan antara AFA dan pentadbiran Presiden Argentina, Javier Milei, dilaporkan semakin tegang, terutama berhubung cadangan penswastaan kelab bola sepak yang ditentang hebat oleh Tapia.
Argentina sebelum ini tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026.-AFP