Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS didorong pelabur terhadap prospek AI

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 26 November – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan pelabur kekal berhati-hati terhadap kemampanan pertumbuhan pesat sektor kecerdasan buatan (AI), mendorong permintaan terhadap aset selamat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Indeks Dolar AS susut 0.10 peratus kepada 103.708 mata, meskipun inflasi PCE AS meningkat kepada 3.8 peratus pada Oktober.
  • Hasil Perbendaharaan AS bagi tempoh dua dan 10 tahun masing-masing turun empat dan tujuh mata asas.
  • Penurunan hasil Perbendaharaan AS mencerminkan peralihan pelaburan kepada aset selamat serta keraguan terhadap harga saham berkaitan AI.
  • Ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil, diniagakan rendah berbanding mata wang utama dan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.1135/1220 berbanding dolar AS daripada 4.1170/1220 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) menyusut 0.10 peratus kepada 103.708 mata walaupun kadar inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 3.8 peratus pada Oktober daripada 3.7 peratus pada September.

Beliau berkata hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun dan 10 tahun, masing-masing turut menurun sebanyak empat dan tujuh mata asas kepada 4.65 peratus dan 4.86 peratus.

“Penurunan hasil Perbendaharaan AS memberi gambaran bahawa wujud peralihan pelaburan kepada aset selamat apabila pasaran mula meragui sama ada pertumbuhan pesat industri AI akan terus menyokong harga saham berkaitan AI.

“Oleh itu, ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menurun berbanding euro kepada 4.5125/5218 daripada 4.5036/5091 semasa ditutup pada Rabu, menyusut berbanding pound kepada 5.3932/4044 daripada 5.3756/3821 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5837/5892 daripada 2.5820/5853.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.4/224.9 daripada 224.6/224, bagaimanapun menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1880/1951 daripada 3.1858/1899 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.0751/1093 daripada 12.0599/0798.

Mata wang tempatan mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.48. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.