
LONDON, 26 November – Koresponden perang Palestin, Mariam Dagga yang terkorban dalam serangan Israel di Gaza pada tahun lalu dianugerahkan Hadiah Rory Peck bagi wartawan video bebas.
- Mariam berusia 33 tahun ketika terbunuh dalam serangan udara Israel di sebuah hospital di selatan Gaza pada Ogos 2025.
- Beliau bekerja dengan Associated Press sejak perang Gaza tercetus pada 7 Oktober 2023.
- AP menegaskan wartawan penting untuk mendokumentasikan peristiwa dan memaklumkan orang ramai, meskipun berdepan risiko keselamatan.
- Jurugambar Perancis Robin Tutenges menerima anugerah fotografi kewartawanan, manakala wartawan Sudan Ahmed Mohamed Abdalla disenarai pendek.
Beliau berkongsi anugerah itu bersama dua rakan sekerjanya dari Associated Press (AP), Abdel Kareem Hana dan Jehad Alshrafi, atas liputan berkesan mereka mengenai kesan kemanusiaan perang di wilayah Palestin itu, menurut kenyataan penganjur Rory Peck Trust pada Rabu.
Mariam berusia 33 tahun ketika terbunuh dalam serangan udara Israel pada Ogos 2025 di sebuah hospital di selatan Gaza, yang turut mengorbankan empat wartawan lain.
Jurugambar dan wartawan bebas itu bekerja dengan AP sejak perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober 2023.
“Wartawan memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan peristiwa dan memaklumkan orang ramai, sering kali dengan risiko besar terhadap keselamatan diri,” kata editor eksekutif agensi berita Amerika Syarikat itu, Julie Pace yang dipetik oleh Rory Peck Trust.
“Kami menghormati Mariam dan semua wartawan yang terbunuh dalam konflik ini serta konflik lain, dan kekal komited untuk mendapatkan jawapan berhubung kematian mereka,” katanya.
Jurugambar Perancis, Robin Tutenges turut menerima Anugerah Rory Peck bagi kategori Fotografi Kewartawanan yang julung kali diperkenalkan, sebagai pengiktirafan terhadap hasil kerjanya mengenai konflik di wilayah Amhara utara, Ethiopia.
Jurugambar bebas dan wartawan video Sudan, Ahmed Mohamed Abdalla yang bekerjasama dengan AFP, turut disenarai pendek bagi anugerah sama atas liputannya mengenai kejatuhan El-Fasher ke tangan Pasukan Sokongan Pantas (RSF), sebuah kumpulan separa tentera yang terlibat dalam perang saudara di Sudan.
Abdalla tidak dibenarkan menghadiri majlis penyampaian anugerah di London selepas kerajaan United Kingdom menolak permohonan visanya.
Dalam rakaman mesej video yang ditayangkan pada majlis itu, beliau menceritakan bagaimana penduduk El-Fasher, ibu kota wilayah Darfur Utara yang dikepung terpaksa memakan makanan ternakan untuk terus hidup ketika serangan peluru berpandu berlaku setiap hari.
Anugerah itu diperkenalkan pada 1995 bagi mengenang wartawan video Rory Peck yang terbunuh di Moscow pada 1993, serta mengiktiraf hasil kerja wartawan video bebas. -AFP