Kepimpinan PM berpaksikan kepentingan rakyat

Foto FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 25 November – Kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi teras kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekad melaksanakan pembaharuan dan membina masa depan Malaysia yang lebih baik terus menjadi iltizam Perdana Menteri.
  • Kepimpinan berpaksikan nadi rakyat dalam mendepani cabaran dan menentukan hala tuju negara.
  • Dialog Negara membuka ruang kepada pelbagai segmen masyarakat mengemukakan persoalan tentang dasar, pertimbangan dan keputusan kerajaan.
  • Perbincangan merangkumi hak penduduk asal, kesihatan, pendidikan, kecerdasan buatan, rasuah, kebebasan bersuara dan PRU16.

Beliau berkata meskipun empat tahun mengemudi negara bukan perjalanan yang mudah, tekad untuk melaksanakan pembaharuan dan membina masa depan Malaysia yang lebih baik terus menjadi iltizam Perdana Menteri.

“Perkongsian YAB PM memperlihatkan dengan jelas kerangka pemikiran seorang pemimpin yang berpaksikan nadi rakyat, dalam mendepani pelbagai cabaran serta menentukan hala tuju negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri program Dialog Negara bersama Perdana Menteri malam ini.

Program Dialog Negara Khas: “Di Sebalik Keputusan…” yang disiarkan menerusi RTM dan saluran media tempatan pada 9 malam menampilkan panelis mewakili pelbagai segmen masyarakat yang mengemukakan persoalan berkaitan dasar, pertimbangan serta keputusan kerajaan kepada Perdana Menteri.

Antara isu yang disentuh ialah jaminan hak penduduk asal dalam pembangunan semula bandar, perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan kesihatan mental di sekolah dan cadangan penubuhan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan.

Turut dibincangkan usaha membanteras rasuah, kebebasan bersuara mahasiswa, penempatan penjawat awam dan Pilihan Raya Umum ke-16. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.