
TENOM, 25 November – Seorang warga emas berusia 63 tahun maut selepas troli kayu yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta api di laluan berhampiran kawasan bawah Kilang Fat Choi, Kilometer 137/3 di sini.
- Kereta api dari arah Pangi menuju Tenom tidak membawa penumpang ketika kejadian.
- Troli kayu terseret kira-kira 15 meter sebelum kereta api berjaya dihentikan.
- Mayat dibawa ke Hospital Tenom untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 56/57 Enakmen Kereta Api 2017.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa, Jan Sumandau yang bekerja sebagai penoreh getah, dipercayai berada di atas landasan menggunakan troli kayu berkenaan ketika sebuah kereta api dari arah Pangi menuju ke Tenom melalui kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata kereta api berkenaan tidak membawa sebarang penumpang ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, troli kayu terbabit terseret kira-kira 15 meter sebelum kereta api tersebut berjaya dihentikan.
“Mangsa ditemukan tersepit di bawah bahagian kereta api dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan tangan kiri.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom dengan bantuan pihak bomba kira-kira pukul 1.50 petang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tenom untuk proses bedah siasat serta tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 56/57 Enakmen Kereta Api 2017.