Perkukuh kerjasama industri, gaji graduan melebihi RM3,000

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 November – Pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkukuh menerusi pendekatan latihan yang disesuaikan dengan perkembangan sains dan teknologi, serta kerjasama strategik dengan industri berpotensi tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan TVET disesuaikan dengan perkembangan sains dan teknologi serta keperluan industri.
  • Lebih 300 kerjasama aktif dijalin antara institusi TVET KKDW dengan pihak industri.
  • Kerjasama membuka peluang pekerjaan berkemahiran dengan pendapatan kompetitif, khususnya berhampiran tempat tinggal graduan.
  • Program TVET diselaraskan dengan NOSS bagi memenuhi kompetensi industri dan membolehkan graduan memperoleh pensijilan yang diiktiraf.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, usaha itu bertujuan memastikan hala tuju TVET negara bukan sekadar melahirkan graduan yang mendapat pekerjaan, tetapi turut membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan berpotensi memperoleh pendapatan lebih tinggi.

“Misalnya, di bawah MARA, kita telah menjalin kerjasama dengan Samsung SD Energy, sebuah syarikat dalam bidang motosikal elektrik dan bateri elektrik, yang menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan dengan pendapatan lebih premium, iaitu melebihi RM3,000 sebulan,” katanya di Parlimen.

Beliau berkata, ketika ini lebih 300 kerjasama aktif telah dijalin antara institusi TVET di bawah KKDW dengan pihak industri.

Kerjasama itu bagi memastikan graduan memperoleh peluang pekerjaan berkemahiran dengan pendapatan kompetitif, khususnya di kawasan berhampiran tempat tinggal mereka.

Usaha KKDW turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan program TVET di bawah kementerian itu diselaraskan dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

Penyelarasan berkenaan memastikan kandungan latihan yang ditawarkan institusi TVET KKDW memenuhi kompetensi pekerjaan yang diperlukan industri, sekali gus membolehkan graduan memperoleh pensijilan yang diiktiraf industri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.