
ISTANBUL, 25 November– Qatar pada Selasa menggesa agar kebebasan pelayaran menerusi Selat Hormuz dipulihkan dan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran disambung semula sebagai sebahagian daripada usaha pengantaraan Doha antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi (AA).
- Qatar menegaskan keselamatan serantau ialah asas kepada kestabilan seluruh rantau.
- Doha mempergiat komunikasi diplomatik dengan Washington dan Tehran bagi mengelakkan ketegangan ketenteraan kembali memuncak.
- Iran bersedia membuka semula Selat Hormuz jika AS menerima tuntutannya, manakala Trump menuduh Tehran tidak serius mencapai persetujuan.
- Qatar menggesa tekanan dikenakan terhadap Israel supaya melaksanakan komitmen gencatan senjata dan pelan damai Gaza.
“Keselamatan serantau merupakan satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di seluruh rantau ini,” kata jurucakap Kementerian Luar Majed Al-Ansari pada sidang media di Doha.
Qatar baru-baru ini mempergiat komunikasi diplomatik dengan Washington dan Tehran dalam usaha mencegah ketegangan ketenteraan antara kedua-dua negara daripada kembali memuncak.
Iran menyatakan kesediaannya untuk membuka semula laluan air itu sekiranya pentadbiran AS menerima tuntutannya, manakala Presiden AS Donald Trump menuduh Tehran tidak serius untuk mencapai persetujuan dan mengancam untuk melancarkan semula serangan selepas akhir tahun ini.
AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb, mendorong Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan kemudahan yang didakwanya sebagai kemudahan ketenteraan AS di negara Arab.
Washington dan Tehran menandatangani memorandum persefahaman pada Jun, namun pelaksanaannya tergendala berikutan percanggahan pendapat mengenai kebebasan pelayaran menerusi Selat Hormuz.
Pertempuran antara kedua-dua pihak kembali tercetus sejak Julai di tengah-tengah usaha diplomatik untuk menamatkan konflik itu.
Mengenai Gaza, Al-Ansari berkata tanggungjawab kini terletak pada Israel untuk melaksanakan komitmennya di bawah perjanjian gencatan senjata dan menggesa agar tekanan dikenakan terhadap Tel Aviv supaya memenuhi obligasinya.
“Qatar berusaha dengan penuh niat baik untuk mencapai perjanjian yang akan mewujudkan keamanan di Gaza dan Palestin secara keseluruhannya serta menghentikan jenayah dan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan oleh Israel terhadap orang awam yang tidak bersenjata. Serangan berterusan Israel menunjukkan bahawa pihak Israel tidak berminat terhadap sebarang usaha damai.
“Tanggungjawab kini terletak pada Israel untuk melaksanakan komitmennya dalam setiap fasa pelan damai bagi Gaza dan tekanan mesti dikenakan terhadapnya supaya memenuhi komitmen berkenaan,” kata Al-Ansari.
Sejak fasa pertama gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, serangan Israel di Gaza telah mengorbankan 1,679 rakyat Palestin dan mencederakan 6,100 yang lain, menurut angka rasmi.
Serangan itu berterusan di tengah-tengah sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan dan bahan pembinaan semula serta kelewatan beralih ke fasa seterusnya pelan Trump untuk menamatkan perang.- BERNAMA