
KUALA LUMPUR, 25 November – Malaysia dan Perancis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersejarah dalam bidang mineral kritikal yang memfokuskan kepada kerjasama penyelidikan dan pemindahan teknologi unsur nadir bumi (REE).
- Perancis akan memindahkan teknologi pemprosesan REE ke Malaysia, manakala Malaysia membekalkan bahan mentah untuk penyelidikan lanjut.
- Program pertukaran membolehkan pegawai teknikal Malaysia mengikuti kursus dan latihan di Perancis.
- Kerajaan menetapkan garis panduan perlombongan dan eksport yang ketat serta menerbitkannya secara terbuka.
- Malaysia akan melaksanakan aktiviti pengekstrakan dan pemprosesan, sekali gus memperoleh manfaat teknologi, latihan dan kepakaran industri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, menerusi perjanjian yang ditandatangani minggu lalu, Perancis akan memindahkan teknologi pemprosesan mineral berkenaan ke Malaysia.
Sebagai timbal balas, Malaysia akan membekalkan sejumlah bahan mentah REE kepada negara Eropah itu bagi tujuan penyelidikan lanjut.
“Jadi MOU yang kita tandatangani dengan Perancis ini sangat bersejarah kerana sebagai balasan kepada teknologi, Perancis akan memindahkan sebahagian daripada teknologi pemprosesannya kepada kita di Malaysia, dan pada masa yang sama, kita akan membekalkan sebahagian bahan mentah unsur nadir bumi kepada Perancis untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan.
“Inilah bentuk pembangunan kapasiti yang kita maksudkan. Kita juga bakal mengadakan beberapa program pertukaran di mana Perancis telah bersetuju untuk menerima beberapa pegawai teknikal kita ke Perancis bagi mengikuti kursus dan latihan, dan kita benar-benar melihatnya sebagai satu pertukaran kepakaran serta kerjasama baik yang berterusan” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Mineral (AMMin) ke-11 dan Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVEST) 2026, di ibu negara.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, Satvinder Singh.
Mengulas kebimbangan mengenai risiko pencemaran alam sekitar dan sumber air, Datuk Seri Arthur memberi jaminan kerajaan mengamalkan ketelusan penuh dengan menetapkan garis panduan perlombongan dan eksport yang amat ketat.
Jelasnya, kesemua garis panduan berkenaan diterbitkan secara terbuka di laman web kementerian bagi memastikan setiap pemohon mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan.
“Pertimbangan alam sekitar merupakan faktor utama. Kita juga sedia maklum mengenai teknologi baharu yang mampu melakukan proses larut lesap tanpa menebang pokok atau meninggalkan kolam takungan, dan piawaian seperti inilah yang akan kita terapkan kepada industri,” tegasnya.
Pada 17 November lepas, Malaysia dan Perancis mengumumkan kerjasama dalam industri REE yang membolehkan Perancis memperoleh sebahagian daripada hasil pengeluaran projek di Malaysia, dengan aktiviti pengekstrakan dan pemprosesan dilaksanakan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu membolehkan Malaysia memperoleh manfaat daripada pemindahan teknologi, latihan dan kepakaran industri tanpa hanya bergantung pada eksport sumber mentah.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyifatkan pengaturan berkenaan sebagai situasi menang-menang, dengan Malaysia melaksanakan aktiviti pengekstrakan dan pemprosesan, manakala Perancis memperoleh sebahagian daripada hasil pengeluaran serta berpeluang menjalankan proses penapisan di negaranya.