
KUALA LUMPUR, 24 November – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini malam ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr A. Samad Said.
- Perdana Menteri membaca surah Yasin buat Allahyarham ketika memberikan penghormatan terakhir.
- Pak Samad menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun di Hospital Kuala Lumpur.
- Diiktiraf sebagai Sasterawan Negara pada 1985, beliau menghasilkan novel, puisi, drama dan esei yang memberi impak besar kepada sastera tanah air.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut meluangkan masa membaca surah Yasin buat Allahyarham.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Terdahulu, tokoh kesusasteraan tanah air yang mesra disapa Pak Samad itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), petang tadi.
Allahyarham atau nama sebenarnya Abdul Samad Mohamed Said diiktiraf sebagai Sasterawan Negara keempat pada tahun 1985 atas sumbangan besarnya dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu moden.
Sepanjang pembabitannya dalam dunia persuratan, beliau menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, puisi, drama dan esei yang memberi impak besar kepada perkembangan sastera tanah air.
Antara karya agungnya termasuk Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987) serta kumpulan puisi Liar di Api.