
KUALA LUMPUR, 24 November – Pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air.
- Pak Samad mengabdikan hidup kepada bahasa dan sastera melalui karya yang merakam kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa.
- Karya agungnya seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi menjadi khazanah sastera negara.
- Karyanya mengangkat kisah manusia dan kepayahan hidup, mencerminkan perjuangan serta realiti masyarakat untuk terus dihayati generasi akan datang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Samad telah meninggalkan satu legasi menerusi karya yang menjadi sumber inspirasi generasi seterusnya.
Pada masa sama, sasterawan itu juga banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa dan sastera negara menerusi karya yang merakam kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa.
“Sepanjang hayatnya, Pak Samad telah mengabdikan diri kepada bahasa dan sastera, bukan sekadar melalui penulisan, tetapi juga dengan merakam denyut nadi kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa melalui mata seorang sasterawan,” katanya menerusi hantaran Facebook rasminya.
Menurut beliau, karya Allahyarham seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi merupakan antara karya agung yang terus menjadi sebahagian daripada khazanah sastera negara.
Karya-karya berkenaan bukan sahaja mengangkat kisah manusia dan kepayahan hidup, malah mencerminkan perjuangan serta realiti masyarakat yang akan terus dihayati oleh generasi akan datang.
“Sesungguhnya, jasad seorang sasterawan mungkin telah pergi, namun suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan sama sekali terpadam,” katanya.
Datuk Seri Fahmi turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta sahabat handai Allahyarham, selain mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.