Dialog Negara: RTM bawa wacana nasional bersama Perdana Menteri

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 November – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh peranannya sebagai platform wacana nasional menerusi program khas ‘Dialog Negara’ yang menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok (25 November) pukul 9 malam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program bertemakan “Di Sebalik Keputusan” mengupas isu strategik negara dan hala tuju pembangunan Malaysia.
  • Dialog membincangkan pertimbangan, cabaran dan rasional keputusan kerajaan, termasuk reformasi serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
  • Format dialog terbuka menghimpunkan Perdana Menteri, pengacara, panel pakar pelbagai industri dan penonton di studio.
  • Perbincangan melibatkan tokoh pelbagai sektor untuk memperluas perspektif dan memperkukuh wacana matang, berfakta serta inklusif.

Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, program itu akan membincangkan pelbagai isu strategik negara, selain mengupas hala tuju pembangunan Malaysia.

Program berdurasi 60 minit bertemakan “Di Sebalik Keputusan” itu akan disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, selain turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Program berkenaan juga turut memberi ruang kepada perbincangan lebih mendalam mengenai pertimbangan, cabaran dan rasional di sebalik keputusan penting yang dibuat kerajaan, termasuk usaha melaksanakan reformasi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Berbeza daripada format wawancara konvensional, Dialog Negara Khas mengetengahkan pendekatan dialog terbuka yang menghimpunkan Perdana Menteri bersama pengacara, panel pakar daripada pelbagai industri serta penonton di studio.

“Perbincangan akan memberi tumpuan kepada empat dimensi utama, iaitu Di Sebalik Sebuah Keputusan, Di Sebalik Reformasi dan Perubahan Di Sebalik Harapan Rakyat, serta Di Sebalik Masa Depan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, dialog berkenaan membolehkan penonton memahami bukan sahaja sesuatu keputusan yang dilaksanakan, malah proses pertimbangan, cabaran pelaksanaan dan kesannya terhadap kehidupan masyarakat.

Program berkenaan turut melibatkan interaksi bersama tokoh dan wakil pelbagai sektor termasuk ekonomi, keusahawanan, kesihatan, pendidikan, pertanian dan tatakelola bagi memperluas perspektif terhadap isu yang dibincangkan.

“Penganjuran program itu sejajar dengan komitmen RTM selaku penyiar awam dalam memperkasakan budaya wacana yang matang, berfakta dan inklusif, selain berperanan sebagai jambatan antara rakyat dengan pembuat dasar,” menurut kenyataan lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.