Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia

Datuk Seri A Samad Said (kiri)/Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 November – Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), petang tadi pada usia 94 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemergian Pak Samad disahkan oleh anak sulungnya, Helmy Samad, menerusi hantaran ringkas di media sosial.
  • Beliau diiktiraf sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985 atas sumbangan besar kepada kesusasteraan Melayu moden.
  • Karya pentingnya termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan kumpulan puisi Liar di Api.
  • Sebelum menumpukan perhatian kepada penulisan kreatif, beliau berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang serta aktif dalam gerakan masyarakat sivil.

Berita pemergian tokoh kesusasteraan tanah air yang mesra disapa Pak Samad itu disahkan oleh anak sulungnya, Helmy Samad menerusi satu hantaran ringkas di media sosial.

“6.10 (petang). Innalillahi wainnailaihi rojiun. Bapa baru meninggal,” tulisnya.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di HKL.

A Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Mohamed Said diiktiraf sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985 atas sumbangan besarnya dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu moden.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia persuratan, beliau menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, puisi, drama dan esei yang memberi impak besar kepada perkembangan sastera negara.

Antara karya agungnya termasuk Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987) serta kumpulan puisi Liar di Api.

Sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang penulisan kreatif, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang di beberapa syarikat akhbar utama tanah air seperti Utusan Melayu, Berita Harian dan The New Straits Times.

Selain dunia sastera, Allahyarham turut dikenali menerusi penglibatan aktifnya dalam gerakan masyarakat sivil apabila pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama gabungan Bersih 2.0.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.