
KUALA LUMPUR, 24 November – Pemain beregu campuran negara Chen Tang Jie berkemungkinan besar terlepas peluang untuk beraksi pada kejohanan badminton pembuka tirai musim, Terbuka Malaysia pada Januari depan.
- Ranking dunia ke-105 menyukarkan Tang Jie dan Chan Wen Tse melayakkan diri ke kejohanan berprestij.
- Gandingan sementara itu bergelut dengan prestasi tidak menentu dan kerap tersingkir pada pusingan awal.
- Tang Jie mengakui prestasinya sendiri kurang baik dan perlu meningkatkan keupayaan selepas bergandingan dengan pemain junior.
- Beliau menyerahkan perancangan kerjaya kepada jurulatih sementara menanti Toh Ee Wei pulih, yang dijangka kembali pada Mac.
Menurut Tang Jie, situasi itu berikutan gandingan sementaranya Chan Wen Tse kini berada di ranking ke-105 dunia, sekali gus menyukarkan laluan mereka untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij tersebut.
Pasangan berkenaan turut berdepan prestasi tidak menentu sejak mula digandingkan bulan lalu setelah menyertai beberapa kejohanan, namun bergelut untuk meraih keputusan positif selepas sering terkandas seawal pusingan pertama dan kedua.
Bagaimanapun, Tang Jie enggan menuding jari kepada gandingannya.
“Memang saya sendiri akui dan bukan mahu memberi sebarang alasan. Ia bukan soal saya bergandingan dengan siapa, cuma prestasi saya sendiri yang tidak baik dan saya mengakuinya.
“Apabila beralih daripada pasangan terdahulu yang sangat bagus kepada pemain junior, saya perlu mempertingkat lagi keupayaan diri sendiri. Apa pun, saya bersyukur kerana sama ada menang atau kalah, jurulatih tetap setia bersama saya ketika waktu sukar,” katanya.
Sementara itu, Tang Jie menyerahkan sepenuhnya perancangan kariernya kepada barisan kejurulatihan sementara menanti kepulangan gandingan utamanya.
Sebelum ini, gandingan asal Tang Jie, Toh Ee Wei dilaporkan mengalami kecederaan koyakan ligamen (ACL) dan dijangka hanya dapat kembali beraksi pada Mac tahun depan.
Bagaimanapun, Tang Jie berkongsi perkembangan positif apabila memaklumkan bahawa Ee Wei telah selesai menjalani rawatan di Australia.