Lelaki aktif seludup beras sejak 2025 ditahan PGA

Lelaki berusia 30 tahun bergiat aktif seludup beras dari Thailand sejak tahun lalu/Foto PGA Briged Tenggara

KUALA LUMPUR, 24 November – Seorang lelaki yang dipercayai aktif menyeludup beras dari Thailand sejak tahun lalu ditahan dalam Op Taring Wawasan di Jambatan Salor, Pasir Mas, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan PGA menemukan 72 kampit beras pelbagai jenama dari Thailand seberat 1.7 tan, bernilai lebih RM7,000.
  • Suspek dipercayai menerima upah RM70 bagi setiap penghantaran kepada pelanggan sekitar Cheng Ho, Kota Bharu.
  • Beras diperoleh daripada pembekal di Thailand, dibawa menyeberangi Sungai Golok menggunakan bot sebelum dimuatkan ke dalam kenderaan.
  • Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM22,136. Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras Negara 1994.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 9.30 malam ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 72 kampit beras pelbagai jenama dari Thailand seberat 1.7 tan dianggarkan bernilai lebih RM7,000.

“Suspek dipercayai menerima upah RM70 bagi setiap penghantaran beras kepada pelanggan di sekitar kawasan Cheng Ho, Kota Bharu.

“Bekalan beras itu diperoleh daripada seorang pembekal di Thailand sebelum dibawa menggunakan bot menyeberangi Sungai Golok dan dimuatkan ke dalam kenderaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM22,136.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras Negara 1994.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.