
KUALA SELANGOR, 24 November – Kerajaan Negeri Selangor meminta polis memperketat rondaan di kawasan Ban 6, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh susulan dua kejadian ban di kawasan itu dipecahkan, dipercayai bagi membuka laluan ke tapak pembuangan sampah haram.
- Kerajaan negeri dalam proses mengambil alih tanah tapak pembuangan sampah haram di Ijok, dijangka selesai menjelang akhir Mac tahun depan.
- Pemantauan polis akan dipertingkatkan dan CCTV dipasang di kawasan berkenaan sebagai langkah pencegahan.
- Kerja pembaikan sedang dilakukan pada bahagian kritikal benteng sepanjang 60 meter bagi mengurangkan risiko limpahan air.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Pejabat Daerah dan Tanah diminta memaklumkan perkara itu kepada polis bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Saya minta Pejabat Daerah selaku Pegawai Daerah memaklumkan kepada polis untuk melakukan rondaan di situ bagi mengelakkan ban itu dipecahkan lagi dan menyebabkan banjir, tambahan pula kita sedang berdepan hujan dan air pasang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan RTB Sungai Buloh di Kuala Selangor, semalam.
Menurut Datuk Seri Amirudin, kerosakan ban berkenaan dipercayai dilakukan pihak yang mahu membuka laluan untuk kegiatan pembuangan sampah haram berskala besar.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut dalam proses mengambil alih tanah yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram di Ijok, dengan proses itu dijangka selesai menjelang akhir Mac tahun depan.
Sebagai langkah pencegahan, pemantauan polis akan dipertingkatkan, selain pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
Untuk rekod, kerosakan ban itu menyebabkan air Sungai Buloh melimpah ke kawasan penempatan penduduk melalui jajaran benteng sepanjang kira-kira 200 meter pada 4 dan 17 November lalu.
Kerja pembaikan sedang dilaksanakan pada bahagian kritikal benteng sepanjang 60 meter bagi mengurangkan risiko limpahan air.
Kejadian banjir di kawasan Kuala Selangor juga berisiko menjadi lebih buruk apabila hujan lebat bertembung dengan fenomena air pasang besar yang menghalang aliran air keluar ke sungai.