
BRIDGETOWN, 24 November – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa negara-negara dunia membangunkan mekanisme bersama bagi mengawal risiko kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh setahun.
- Kerangka antarabangsa perlu inklusif, berasaskan prinsip dan disokong pemantauan bebas serta berwibawa.
- Negara boleh menyelaraskan piawaian keselamatan AI, kaedah pengujian dan keperluan asas pemantauan bebas.
- AI tanpa kawalan boleh membawa risiko, termasuk pembangunan robot pembunuh yang mengancam keselamatan manusia.
- Tadbir urus global perlu diperbaharui supaya manusia terus berkuasa menentukan masa depan dunia.
Beliau berkata, kerangka antarabangsa yang inklusif perlu diwujudkan bagi memastikan pembangunan teknologi itu dipantau secara bebas dan tidak mengancam keselamatan manusia.
“Hari ini saya menyeru negara anggota menyelaraskan usaha dan membangunkan dalam tempoh setahun akan datang satu kerangka pelbagai hala yang inklusif serta berteraskan prinsip bagi pengurusan risiko AI, disokong pemantauan bebas dan berwibawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Khas Bridgetown mengenai Keselamatan AI di Barbados, pada Isnin.
Guterres berkata, langkah awal boleh dimulakan dengan persetujuan negara-negara dunia terhadap piawaian keselamatan bersama, kaedah pengujian serta keperluan asas bagi pemantauan bebas.
Beliau turut memberi amaran mengenai risiko penggunaan AI tanpa kawalan, termasuk kemungkinan pembangunan robot pembunuh yang boleh mengancam keselamatan manusia.
Bagaimanapun, usaha mewujudkan peraturan antarabangsa berdepan cabaran apabila kuasa teknologi seperti Amerika Syarikat (AS) dan China terus bersaing untuk mendahului penyelidikan serta pembangunan AI.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Anthropic, Dario Amodei, CEO OpenAI, Sam Altman dan Ketua SpaceX, Elon Musk sebelum ini menggesa supaya pembangunan AI diperlahankan.
Sebaliknya, CEO Nvidia, Jensen Huang dan Ketua Meta, Mark Zuckerberg antara tokoh industri yang menyokong pembangunan teknologi itu diteruskan dengan lebih pantas.
Guterres turut menegaskan institusi tadbir urus global perlu diperbaharui supaya selari dengan realiti dunia masa kini.
Menurutnya, perkara itu bukan sahaja melibatkan PBB, malah turut merangkumi sistem kewangan antarabangsa dan perdagangan dunia.
Beliau berkata, kawalan terhadap AI penting bagi memastikan manusia terus mempunyai kuasa menentukan masa depan dunia.
“Saya akan menasihatkan pengganti saya bahawa kawalan sewajarnya terhadap AI diperlukan bagi memastikan manusia terus menguasai dunia kita,” katanya.
Guterres dijadual menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Agung PBB pada penghujung tahun ini, manakala penggantinya masih belum dipilih. – AFP