
KAJANG, 23 November – Pandangan masyarakat terhadap fungsi penjara sebagai tempat menjalani hukuman perlu diubah, memandangkan institusi itu turut berperanan menyediakan ruang kepada prospek untuk memperbaiki diri serta membina semula kehidupan menerusi aspek pendidikan.
- Pendidikan diperkasa melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, termasuk kuliah, bimbingan dan penyeliaan pensyarah di penjara.
- Seramai 362 prospek mengikuti pengajian daripada peringkat SPM hingga PhD, termasuk dua calon di peringkat PhD.
- Kisah kejayaan Dr. Malik Yatam dan sumbangan buku diharap menyemarakkan budaya pembelajaran serta memberi inspirasi kepada prospek.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan), Zaidi Hamid berkata, pendidikan perlu terus diperkasa sebagai sebahagian daripada agenda pemulihan bagi membantu prospek mengembangkan potensi diri serta meningkatkan pencapaian akademik.
“Jabatan sentiasa memberi ruang, peluang dan menyediakan kemudahan untuk berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi.
“Pensyarah akan datang mengikut jadual tertentu ke penjara untuk memberi kuliah, bimbingan serta penyeliaan kepada pelajar-pelajar.
“Semasa penyeliaan itulah segala keperluan dan bantuan diberikan pihak universiti untuk mereka menyiapkan tugasan dan pengajian dalam penjara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Inspira Koreksional Jabatan Penjara Malaysia di sini.
Kerjasama pendidikan itu turut melibatkan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Open University Malaysia (OUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan City University Malaysia.
Menurut Zaidi, seramai 362 prospek sedang mengikuti program pendidikan merangkumi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga Doktor Falsafah (PhD), termasuk dua calon yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi itu.
Pada majlis berkenaan, pihak penjara turut menampilkan Dr. Malik Yatam bagi memberi inspirasi kepada kira-kira 200 prospek di penjara berkenaan mengenai kejayaannya menamatkan pengajian dari peringkat SPM hingga PhD dalam institusi penjara.
Perkongsian tersebut diharap dapat memberi semangat untuk terus menimba ilmu dan tidak menjadikan penjara sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.
Dalam majlis sama, Jabatan Penjara Malaysia turut menerima sumbangan buku daripada Persatuan Sahabat Jabatan Penjara Malaysia bagi menyokong usaha memperluas akses kepada bahan bacaan dan sumber ilmu.
Terdahulu dalam ucapannya, Zaidi turut berharap Program Inspira Koreksional dapat diteruskan sebagai platform mengetengahkan tokoh inspirasi, berkongsi kisah kejayaan serta menyemarakkan budaya pembelajaran dalam institusi penjara.