Perintah Gaji Minimum: 204 majikan gagal patuh

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 November- Sebanyak 28,259 pemeriksaan telah dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ke atas premis majikan dalam memastikan pematuhan kepada Perintah
Gaji Minimum yang telah berkuatkuasa 1 Februari 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 204 majikan didapati tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum dan notis pematuhan telah dikeluarkan.
  • Daripada 264 aduan diterima, 233 berjaya diselesaikan dan 185 didapati berasas.
  • Sebanyak 128 kertas siasatan dibuka dan 46 pendakwaan diambil, dengan jumlah denda RM56,900.
  • PMKS dengan hasil jualan bawah RM50 juta setahun dikecualikan bagi mengelakkan dasar ini membebankan peniaga kecil.

Daripada jumlah itu, sebanyak 204 majikan didapati tidak mematuhi perintah berkenaan dan notis pematuhan telah dikeluarkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, sebanyak 264 aduan pula telah diterima dengan 233 aduan telah berjaya diselesaikan manakala sebanyak 185 aduan didapati berasas.

“Dari aspek tindakan undang-undang, 128 kertas siasatan telah dibuka atas pelanggaran Perintah Gaji Minimum 2024 dan 46 tindakan pendakwaan telah diambil dengan jumlah denda sebanyak RM56,900.

Antara syarikat yang telah didakwa membayar gaji di bawah paras gaji minimum adalah sebuah syarikat dalam sektor pembuatan yang telah dikenakan denda sebanyak RM8,000 dan juga sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan yang telah didenda sebanyak RM24,000,” katanya.

Bagaimanapun Datuk Khairul Firdaus menambah, bagi memastikan pelaksanaan dasar gaji minimum tidak membebankan peniaga berskala kecil, kerajaan mengenakan pengecualian kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang merekodkan hasil jualan bawah RM50 juta setahun.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah mengenai statistik majikan pascapelaksanaan Dasar Gaji Minimum serta langkah penguatkuasaan terhadap sektor perniagaan mikro luar bandar di Dewan Rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.