
NEW DELHI, 23 November– India menawarkan pakej “bantuan pembangunan” bernilai AS$1.6 bilion kepada negara jiran, Nepal, susulan bencana banjir besar yang melanda kawasan pergunungan Himalaya.
- Modi berkata bantuan India akan menyokong pembinaan semula Nepal dan pembangunan jangka panjang negara itu.
- Banjir akibat runtuhan glasier mengorbankan lebih 1,400 nyawa, manakala 5,000 orang dilaporkan hilang.
- Nepal menganggarkan kos pembinaan semula mencecah AS$4.78 bilion.
- Shah berkata bencana itu menunjukkan perlunya tindakan bersama untuk menangani cabaran perubahan iklim.
Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, bantuan itu bertujuan menyokong usaha pembinaan semula Nepal serta mempercepatkan pembangunan jangka panjang negara berkenaan.
“Kami merakamkan ucapan takziah atas kehilangan nyawa akibat banjir besar yang melanda Nepal pada Ogos lalu,” katanya ketika berdiri bersama rakan sejawatannya dari Nepal, Balendra Shah di New Delhi.
“Bagi menyokong usaha pembinaan semula Nepal dan memberikan momentum baharu kepada pembangunan jangka panjangnya, kami mengumumkan pakej kerjasama pembangunan bernilai 240 bilion rupee Nepal,” katanya.
Shah berada di New Delhi bagi lawatan pertama ke negara jiran sejak memegang jawatan pada Mac lalu.
Lawatan luar negara pertamanya sebelum ini adalah ke New York pada September, ketika beliau berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketika itu, Nepal sedang berdepan bencana banjir besar seakan tsunami yang berpunca daripada runtuhan glasier di kawasan pergunungan altitud tinggi, mengorbankan lebih 1,400 nyawa manakala 5,000 lagi dilaporkan hilang.
Nepal, sebuah negara yang sebahagian besarnya bergantung kepada sektor luar bandar dan menyumbang sedikit kepada pelepasan gas rumah hijau global, menganggarkan kos pembinaan semula mencecah AS$4.78 bilion.
Shah berkata, bencana berkenaan membuktikan keperluan menangani cabaran perubahan iklim menerusi tindakan bersama.
Nepal yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk dan tidak mempunyai akses ke laut, perlu mengimbangi hubungan diplomatik dengan dua negara jiran yang berpengaruh, India dan China.
Modi berkata, India komited membantu keluarga terjejas membina semula kehidupan, mewujudkan peluang baharu serta memperkukuh keupayaan Nepal menghadapi bencana pada masa hadapan.
“Komitmen kami adalah untuk membantu keluarga yang terjejas membina semula kehidupan mereka, mewujudkan peluang baharu dan memperkukuhkan lagi kapasiti Nepal untuk menangani bencana masa hadapan,” kata Modi. -AFP