
TRIPOLI, 23 November – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan susulan serangan dron ke atas dua kapal berhampiran pelabuhan Benghazi, Libya, Ahad lalu.
- Misi PBB menyifatkan serangan itu sebagai perkembangan serius dan menegaskan Libya tidak boleh menjadi medan pertempuran kuasa asing.
- Semua kru kedua-dua kapal berjaya diselamatkan dan menerima rawatan bagi kecederaan ringan.
- Tiada pihak mengaku bertanggungjawab, manakala pihak berkuasa Libya mengesyaki kapal Rusia diserang ketika dalam perjalanan pulang.
- Pasukan tentera laut dan udara Libya dilaporkan memintas lebih 12 dron laut yang membawa bahan letupan.
Serangan itu membabitkan sebuah kapal milik Rusia dan sebuah lagi kapal yang dilaporkan berlayar menggunakan bendera Malta.
Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan kemungkinan konflik Rusia-Ukraine merebak ke luar kawasan pertempuran, ketika kedua-dua pihak terus meningkatkan serangan masing-masing.
Misi Sokongan PBB di Libya menyifatkan serangan itu sebagai perkembangan serius dan menegaskan Libya tidak boleh dijadikan medan pertempuran bagi konflik kuasa asing.
Pihak berkuasa Libya memaklumkan semua kru kedua-dua kapal berjaya diselamatkan dan sedang menerima rawatan akibat kecederaan ringan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Stesen televisyen Libya, Alhadath, turut melaporkan pasukan tentera laut dan udara negara itu memintas lebih 12 dron laut yang membawa bahan letupan di perairan Benghazi.
Pentadbiran Libya mengesyaki kapal Rusia diserang dron ketika dalam perjalanan pulang ke Rusia.
Kapal itu dilaporkan singgah di pelabuhan untuk mengisi minyak dan mendapatkan bekalan.
Pihak berkuasa turut memaklumkan siasatan bersama Rusia akan dijalankan bagi mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kapal kargo Rusia turut dilaporkan diserang dron di Laut Baltik timur, berhampiran perairan Finland, Sabtu lalu.
Pengawal Sempadan Finland menyatakan serangan itu dilakukan Ukraine.
Sementara itu, Ukraine pada Isnin memaklumkan serangan Rusia mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di wilayah Kiev, termasuk sebuah bangunan pangsapuri dan pasar raya.
Konflik yang bermula sejak pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada 2022 itu telah mengorbankan ratusan ribu nyawa serta menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Libya sendiri masih berdepan ketidakstabilan sejak kejatuhan bekas pemimpinnya, Muammar Gaddafi, pada 2011, dengan negara itu kini terbahagi antara kerajaan di Tripoli dan pentadbiran pesaing di bahagian timur. – AFP