
KUALA LUMPUR, 21 November – Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa untuk meneliti dan menjalin ruang kerjasama yang praktikal bersama UiTM Business Club (UiBC) bagi memperkasa ekosistem keusahawanan bumiputera.
- Kerjasama strategik perlu merangkumi pementoran, pembangunan kapasiti, penskalaan usahawan dan pengembangan akses pasaran.
- MARA diarahkan menjalin hubungan erat dengan UiBC untuk membantu pembangunan usahawan dan memperluas akses pasaran.
- Setiap kerjasama mesti menghasilkan peluang nyata, pasaran dan perkembangan bagi usahawan.
- FBM diminta melahirkan pemimpin berasaskan data, laksana penyelidikan, dan gandakan peranan alumni sebagai mentor serta penghubung industri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama strategik itu perlu dilaksanakan merangkumi aspek pementoran, pembangunan kapasiti, penskalaan usahawan serta memperluas akses pasaran.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, penubuhan kelab perniagaan tersebut oleh Persatuan Alumni UiTM Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) adalah tepat pada masanya, namun ia perlu digerakkan secara optimum sebagai platform padanan perniagaan.
“Sebagai menteri yang menjaga MARA, saya akan mengarahkan MARA untuk menjalin hubungan yang baik dan menjadi rakan kongsi UiBC. MARA mesti membantu UiBC mengenal pasti pembangunan usahawan dan akses pasaran.
“Yang penting, setiap kerjasama mesti diterjemahkan kepada peluang, pasaran dan perkembangan sebenar kepada para usahawan kita,” jelasnya.
Beliau berucap demikian selepas hadir ke Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-70 FBM UiTM Sempena Ulang Tahun ke-70 Legasi Terus Gemilang di sini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Alumni Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM Datuk Rosthman Ibrahim.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut meletakkan tiga amanah kepada FBM iaitu membina pemimpin yang mampu membuat keputusan berasaskan data dan membawa penyelidikan ke peringkat pelaksanaan.
“Jadikan UiBC tempat membimbing generasi seterusnya dengan melibatkan lebih ramai alumni sebagai mentor dan penghubung industri.Pastikan setiap graduan tahu bahawa ada sokongan menanti mereka di luar sana.
“Jika tiga elemen iaitu kerelevanan zaman, dekat dengan industri dan jaringan alumni yang kuat bergerak serentak, saya yakin fakulti ini akan terus melahirkan pemimpin dan penggerak ekonomi yang hebat,” jelasnya.