Lebih 57,000 PATI ditahan bagi tempoh Januari-September

Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 November – Seramai 57,604 warga asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi operasi penguatkuasaan pelbagai agensi bagi tempoh 1 Januari hingga 15 September 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • 35,109 ditahan menerusi operasi JIM; 22,495 lagi diterima melalui serahan di pintu masuk negara termasuk PDRM.
  • Program Repatriasi Migran 2.0: 304,905 berdaftar, 243,463 telah kembali ke negara asal sejak pelaksanaan Mei 2025.
  • Kerajaan dan agensi akan mempergiat tindakan terhadap majikan serta pekerja asing yang melanggar peraturan imigresen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, seramai 35,109 individu ditahan menerusi operasi penguatkuasaan JIM, manakala 22,495 lagi diterima melalui serahan di pintu masuk negara dari agensi lain termasuk PDRM.

Warga Indonesia mencatat jumlah tertinggi iaitu 16,744 orang, diikuti Bangladesh seramai 13,543 orang dan Myanmar seramai 8,452 orang.

“Bagi tempoh yang sama, seramai 41,277 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing setelah melalui proses dokumentasi yang ditetapkan.

“Selain tindakan penguatkuasaan, kerajaan turut melaksanakan Program Repatriasi Migran 2.0 yang diperkenalkan pada Mei 2025 bagi memberi peluang kepada pendatang tanpa izin untuk tampil secara sukarela dan pulang ke negara asal.

“Sehingga 15 September 2026, seramai 304,905 orang telah berdaftar di bawah program tersebut, manakala 243,463 orang telah kembali ke negara asal,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Daripada jumlah pendaftaran program Repatriasi Migran 2.0 itu, warga Indonesia mencatat angka tertinggi iaitu 131,695 orang, diikuti Bangladesh seramai 57,066 orang dan Myanmar sebanyak 42,556 orang.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan dan agensi berkaitan akan terus mempergiat tindakan terhadap majikan dan pekerja asing yang melanggar peraturan imigresen, termasuk bekerja tanpa pas yang sah, menyalahgunakan pas serta bekerja di luar sektor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.