
KUALA LUMPUR, 19 November – Kerjasama Malaysia dan Perancis dalam sektor unsur nadir bumi (REE) memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian nilai mampan, selain meningkatkan keupayaan teknologi dan kepakaran tempatan.
- Kerajaan memperkenalkan kelonggaran eksport REE mentah melalui garis panduan berkuat kuasa 1 Oktober 2026, terhad kepada R&D dan pemprosesan.
- Perjanjian Malaysia-Perancis benarkan aktiviti perlombongan dan pemprosesan di Malaysia, Perancis peroleh sebahagian hasil serta peluang penapisan.
- Kerajaan tekankan tiada pemberian hak eksklusif dan tumpu manfaat pemindahan teknologi, latihan serta peningkatan kepakaran tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin menegaskan, usaha itu tidak bermakna sumber REE negara diberikan hak eksklusif kepada mana-mana pihak.
“Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah melaksanakan fleksibiliti pengeksportan REE mentah melalui Garis Panduan Pertimbangan Permohonan Pengeksportan Unsur Nadir Bumi Mentah bagi Tujuan Pembangunan Rantaian Nilai Industri dalam Negara yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2026.
“Fleksibiliti kepada dasar moratorium eksport bahan mentah REE itu adalah terhad kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemprosesan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Malaysia mengekalkan dasar moratorium eksport bahan mentah REE bagi menggalakkan pembangunan industri pemprosesan tempatan.
Pada 17 November lepas, Malaysia dan Perancis mengumumkan kerjasama dalam industri REE yang membolehkan Perancis memperoleh sebahagian daripada hasil pengeluaran projek di Malaysia, dengan aktiviti pengekstrakan dan pemprosesan dilaksanakan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu membolehkan Malaysia memperoleh manfaat daripada pemindahan teknologi, latihan dan kepakaran industri tanpa hanya bergantung pada eksport sumber mentah.
Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan pengaturan berkenaan sebagai situasi menang-menang, dengan Malaysia melaksanakan aktiviti pengekstrakan dan pemprosesan, manakala Perancis memperoleh sebahagian daripada hasil pengeluaran serta berpeluang menjalankan proses penapisan di negaranya.
Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan MITI berjumlah RM1,976,267,500 bagi 2027 seperti diperuntukkan dalam Belanjawan 2027 dengan suara majoriti, selepas dibahaskan oleh 13 Ahli Parlimen.