
KUALA LUMPUR, 19 November- Kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menjadi antara tumpuan dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan elektronik negara.
- Mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, disertai Ketua Pengarah JBSN, Ketua Pengarah MSN serta pemimpin MESF.
- MESF anggap pertemuan sebagai langkah ke hadapan untuk memperkukuh ekosistem dan pembangunan sukan elektronik secara strategik serta holistik.
- MESF rakam penghargaan kepada Menteri atas komitmen dan sokongan, serta komited bekerjasama dengan KBS dan pemegang taruh demi daya saing antarabangsa.
Perkara itu dibincangkan menerusi Mesyuarat Hala Tuju Pembangunan Sukan Elektronik yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
“MESF telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat berkenaan (semalam),” menurut kenyataan itu.
MESF dalam hantaran di Facebook memaklumkan, mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Arrifin Mohd Ghani.
MESF diwakili Presidennya, Muhammad Naim Al Amin Saharudin, Setiausaha Agung, Syed Fakrurrozi Syed Agil dan Naib Presiden II, Muhammad Faries Faizal.
Menurut MESF, pertemuan itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem serta memperkasakan pembangunan sukan elektronik di Malaysia secara lebih strategik dan holistik.
MESF turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan atas komitmen, sokongan serta keprihatinan beliau terhadap pembangunan industri sukan elektronik negara.
“MESF komited untuk terus bekerjasama dengan KBS serta semua pemegang taruh dalam memastikan sukan elektronik negara terus berkembang dan berdaya saing di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan itu.